BUDAYARENCANA

Jangan tolak aku Suburbia, aku tahu nak buat apa

Oleh Jack Malik

“jarak antara ipoh-damansara / hanyalah sepanjang sajak ini.”

Ketika dalam angau-renyam mabuk cinta, saya pernah membuat kiraan jarak antara dua bandar—milik saya dan teman wanita (kini bergelar isteri)—hanyalah sepanjang sebuah sajak di atas. Setelah menetap di Nilai dan bekerja di Petaling Jaya, saya merasakan mungkin sekarang jarak antara Ipoh, Damansara, Petaling Jaya dan Nilai sudah bertambah mungkin dalam beberapa puluh sajak jauhnya.

Tentang menjadikan sebuah tempat sebagai subject-matter penulisan, saya pernah menulis tentang Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur semasa bekerja di Mukha Cafe dahulu. Namun, belum lagi menulis tentang Petaling Jaya walaupun ia sering mengingatkan saya tentang Ipoh. Ada beberapa puisi tentang Nilai tetapi belum lagi yang ditulis mengangkat atau meromantikkannya. Tiga tahun lebih ini hanya mengajar saya untuk tahu di mana kita tidak ingin berakar. Ia juga mendidik saya bagaimana untuk berdamai dengan sebuah tempat—macam mana pun kita cuba untuk mencari titik persamaan—hanya keterasingan menemui kita.

Namun ia tidak menghalang saya untuk terus menulis tentang setiap tempat pernah saya bermusafir atau bermastautin. Dari Wannabe Sasau hingga ke Sajakjakja(c)k, petempatan sering bermurah hati untuk menyuakan kepada saya penulisan.

Laut Tujuh Gelombang Buih karya Allahyarham Rahimidin Zahari merupakan buku puisi pertama yang saya baca subject-matternya ialah Kelantan. Kemudian, saya mencari beberapa lagi naskhah sepertinya. Saya tidak menemui banyak namun judul seperti Laut Tak Biru Di Seberang Takir, T. Alias Taib; Air Manik Astagina, Hashim Yaacob; hampir kesemua judul Allahyarham J.M. Aziz mengangkat tempat asal-usul mereka. Walau bagaimanapun, kita masih—pada pengamatan peribadi saya—kekurangan kumpulan puisi yang berkisar sekitar petempatan pemuisinya.

Jika saya belum dikhianati ingatan, tahun lepas saya pernah berbalas twit dengan Syaheeda Hamdani mengenai subject-matter ini. Twit beliau mengharapkan “orang nda pandang Gunung Kinabalu semata-mata tarikan pelancong. Tapi, ia tulang belakang . . . Kota Marudu, Kota Belud & Ranau sebagai tadahan air.” Nah, mata saya terus bersinar. Saya bayangkan sebuah naskhah puisi yang mempunyai kritikan sosial, aktivisme alam; menawarkan keanggunan bahasa ibundanya; suatu kesegaran dinanti-nantikan. Betapa ingin saya dibuai gambaran bumi zamrud dan nilam laut Sabah. Saya akui yang saya tamak, bermimpi di siang hari dengan angan-angan sendiri dan hanya memancarkan kehendak saya ke atas tuan punya badan. Sebaiknya, kita perlu biarkan penulis memenuhi kehendak mereka dahulu, bukannya kehendak para pembaca. “Surprise me!” bak kata Anton Ego dalam babak akhir filem animasi Ratatouille. Saya membalas twit Syaheeda dengan memberi cadangan untuk beliau membikin sebuah kumpulan sajak tentang Sabah. Syaheeda menjawab, “Susah tu. Paling sehaiku dua saja.”

Saya menghormati sebab-dan-kerana Syaheeda serta rakan-rakan penulis sepertinya. Malah, tidak ada apa-apa saya doakan untuk mereka melainkan kejayaan juga kebahagiaan. Apa jua karya mereka hasilkan saya sambut dengan tangan terbuka sebab karya yang ada sentiasa lebih elok dan bagus berbanding karya yang tiada. Tetapi ia membuat saya tertanya-tanya: adakah Roberto Bolano tersilap ketika menyatakan “dalam dunia ini tiada siapa pun yang berani macam penyajak”? Atau ia tidak ada kena mengena dengan keberanian namun lebih kepada kejujuran? Masih lagi berbalam atau belum peroleh kemahiran?

Saya lebih ingin percaya penyajak kita masih belum sedari apa yang petempatan boleh tawarkan kepada kita semua. Boleh jadi juga cinta dan hormat mendalam membuatkan mereka menanti, seperti Jack Kerouac, ketibaan hari mereka akan “menemui kata-kata betul dan ia sebenarnya mudah.” Saya benar-benar harap ia tidak sukar dan hari tersebut kelak menjelang.

Hal ini, pada pengamatan peribadi saya juga, berlainan dengan karya luar negara. Ada yang mengangkat bandar (serta bahasa) mereka seperti Nate Marshall bersajak tentang Chicago, Vernakular Inggeris Orang Amerika Afrika (AAVE) dalam Finna; Zeina Hashem Beck mendendangkan Kota Beirut dalam To Live in Autumn. Bahkan ada juga di kalangan mereka mengangkat negara mereka terus seperti Nadia Tueni (Lubnan), Threa Almontaser (Yaman) dan beberapa judul lain yang ditulis sebagai surat cinta. Saya percaya Bolano tidak tersilap. Dalam On Revising, William Germano menyatakan: “Berikan suara kepada yang tidak memiliki suara. Inilah salah satu tugas penulis.” Mungkin para pengkarya kita hanya perlu sedar bahawa petempatan mereka (sememangnya) mempunyai suara tersendiri namun hanya akan didengari jika ia dijadikan buku, pementasan, filem, lukisan, foto dan bermacam jenis hasil karya.

Apa yang saya harap ialah para penyajak kita berhenti seketika dan merenungi di mana mereka berada. Ada pelbagai dunia sedang menunggu kita. Ini belum termasuk bentuk, gaya dan penyampaian. Di luar sana, terdapat banyak lagi sasterawala belum kita jelajah. Dan antaranya, mikrokosma kita. Subject-matter begitu dekat dengan kita tetapi mengapa tidak ia diberikan perhatian lanjut? Saya lebih ingin mendengar kita meraikan kampung, pekan dan bandar kita; memuisikan setiap keinzalan mahupun kebosanan, kejayaan bahkan kegagalan; kemanisan, kepahitan asam-garam tempat kita berasal ataupun berada. Teknologi sudah menemukan kita dengan pelbagai maklumat tentang tempat-tempat di negeri serta negara kita. Sudah tiba masanya penyajak kita juga melakukan perkara sama dan mengetengahkan keanekaragaman identiti masing-masing.

Permulaan apa-apa perkara bukanlah sesuatu paling mudah. Tetapi ia tidak mustahil sementelahan terdapat pelbagai sumber di luar sana. Contohnya, siri Everyman’s Library menerbitkan rampai sari puisi tentang bandar Paris, New York dan London yang mengumpulkan segala puisi juga pemuisi yang berkaitan dengan bandar tersebut. Siri yang sama turut mengumpul puisi tentang migrasi berjudul Border Lines yang merakamkan semesta perasaan dan peluahan para pemuisi dalam pengelolaan naskhah tersebut. Senada itu, apa kurangnya kita? Walaupun kurang—atau sebenarnya ada tetapi di luar pengetahuan saya—bukan bermaksudnya tiada langsung. Tell Me, Kenyalang oleh Kulleh Grasi antara naskhah terkini yang semua penyajak muda perlu ambil perhatian.

Beberapa minggu lalu, saya menjejak kaki ke kedai buku Riwayat. Abang Roestam menyambut saya dan isteri penuh mesra. Saya menyambar dua buku: satu tentang Ipoh dan satu lagi tentang Kelantan. Abang Roestam bertanya, “Ada projek ke?” Saya mengiyakan dan berkongsi cerita tentang dua manuskrip puisi sedang saya kerjakan. Saya juga memberitahunya tentang terlalu sedikitnya penekanan kita tentang hal petempatan sebagai subject-matter dalam persajakan. Abang Roestam menerangkan barangkali kita tiada pengkaji untuk mengangkat hal ini. Sedikit sebanyak saya bersetuju. Cuma selanjutnya saya juga terfikir bukannya penyajak kita kena sampai merancang untuk merompak bank pun. Apa yang kita perlukan hanyalah bergerak menuju hari yang kita sudah menemui perkataan betul untuk menggambarkan kampung, pekan dan bandar masing-masing dengan begitu mudah—semudah pulang ke rumah setelah sekian lama di jalanan. Atau menulisnya hanya kerana kalau bukan kita, siapa lagi?


Pengarang :