Pengerusi Persatuan Warga Sindrom Down Negeri Selangor, Hanizan Hussin (duduk tiga, kiri) bergambar bersama tetamu jemputan dan kanak-kanak sindrom down ketika Jelajah Pemerkasaan Pengupayaan Kemahiran OKU Sindrom Down di Kuala Selangor Cabin Camp, Kuala Selangor pada 8 Oktober 2022. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jelajah perkasa golongan sindrom down diteruskan ke serata daerah

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

KUALA SELANGOR, 8 OKT: Jelajah Pemerkasaan Pengupayaan Kemahiran OKU Sindrom Down yang membuka tirainya di sini hari ini diteruskan ke daerah lain bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit itu.

Pengerusi Persatuan Warga Sindrom Down Negeri Selangor (PWSNDS) Hanizan Hussin berkata ia penting bagi membela nasib golongan berkenaan pada masa depan.

“Ada ibu bapa yang mempunyai anak sindrom down tetapi tidak cakna mengenai keperluan mereka seperti kepentingan memiliki kad OKU, bantuan disediakan kerajaan dan pendidikan.

“Disebabkan itu siri jelajah ini perlu dibuat bagi menyantuni keluarga yang mempunyai anak atau ahli keluarga sindrom down,” katanya selepas jelajah berkenaan di Kuala Selangor Cabin Camp di sini.

Sebahagian kanak-kanak sindrom down yang mengambil bahagian dalam sukaneka sempena Jelajah Pemerkasaan Pengupayaan Kemahiran OKU Sindrom Down di Kuala Selangor Cabin Camp, Kuala Selangor pada 8 Oktober 2022. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Antara pengisian jelajah berkenaan termasuklah seminar interaktif kepada ibu bapa, sukaneka, pertandingan pakaian beragam dan penerangan mengenai keperluan anak sindrom down.

Hanizan berkata PWSNDS juga akan menubuhkan pusat pemulihan dalam komuniti bagi golongan sindrom down yang dijangka beroperasi Januari tahun depan.

Unutk permulaan, beliau menjangkakan pusat berkenaan mampu menempatkan kira-kira 20 individu untuk mengikuti program dan latihan pemantapan kemahiran serta keupayaan diri.

Terdahulu, PWSDNS menerima tajaan RM5,000 daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk program pengupayaan dan kemahiran golongan berkenaan.

Sumbangan berkenaan akan dimanfaatkan untuk menjayakan siri jelajah ke serata daerah bagi menyantuni keluarga dan golongan sindrom down.


Pengarang :