Orang ramai beratur untuk membeli barang keperluan asas menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Laman Bougainvilla, Gombak pada 25 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Jelajah PKPS diteruskan esok, peluang penduduk dapatkan barangan murah

SHAH ALAM, 1 OKT: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terus memenuhi permintaan orang ramai dengan menjayakan Jelajah Ehsan Rakyat di sembilan lagi lokasi esok.

Program jualan murah barang keperluan asas itu akan dijalankan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Sungai Burong, Kuang, Rawang, Sungai Tua, Pandan Indah, Taman Medan, Kota Damansara dan Tanjung Sepat.

PKPS menawarkan barang keperluan asas seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan) dalam program bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari itu.

Turut dijual pada harga murah ialah ikan kembung atau selayang dengan RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk program tersebut di seluruh 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember ini melibatkan 160 lokasi.

Inisiatif itu bagi membantu rakyat berdepan kenaikan harga barang memanfaatkan lebih 80,000 orang sejak diperkenal Disember tahun lalu.

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :