Penduduk setempat Syahrul Anuar Hamid, 32, (kiri) dan Hafizi Johari, 39, membuat tinjauan paras air Sungai Manal susulan paras air sungai itu semakin naik dan sebagai langkah bersiap sedia berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berhampiran di Kampung Manal di sini pada 27 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

JPS bangun program mampu ramal banjir tujuh hari lebih awal

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang membangunkan model Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) di 74 lembangan sungai di seluruh negara dengan keseluruhan tiga fasa projek itu dijangka siap pada 2030.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi JPS Dr Salwa Ramly berkata buat masa ini fasa pertama projek telah beroperasi di lembangan Sungai Kelantan, Sungai Terengganu dan Sungai Pahang.

“Manakala model PRAB yang akan siap pada fasa kedua ialah melibatkan 38 lembangan sungai di zon utara Semenanjung Malaysia sehingga Sungai Perak serta di bahagian pantai timur. Ini adalah untuk pembangunan model banjir monsun.

“Sementara selebihnya melibatkan 33 lembangan sungai di bahagian barat Sabah dan Sarawak dengan semua pembangunan model dijangka siap pada 2030,” katanya ketika menjadi panel dalam webinar berjudul Pengaplikasian Maklumat Dalam Pengurusan Bencana: Isu, Cabaran dan Langkah ke Hadapan anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hari ini.

Salwa berkata projek PRAB itu membolehkan JPS membuat ramalan banjir monsun tujuh hari lebih awal dan memberi amaran banjir dua hari lebih awal kepada agensi berkaitan sebagai langkah awal menghadapi bencana itu.

“Sebelum adanya program PRAB, kita dahulu buat ramalan banjir sehari lebih awal manakala amaran banjir hanya diberi setiap enam jam berdasarkan data-data yang ada. Dahulu pangkalan data sistem kita adalah mengikut negeri tetapi untuk program PRAB, kita melaksanakan pangkalan data ramalan secara berpusat dan lebih meluas,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Zulkefli Mansor berkata Malaysia ketika ini memerlukan mekanisme yang berkesan untuk mengintegrasikan sistem pengurusan bencana memandangkan setiap agensi berkaitan kini bergerak menggunakan sistem masing-masing.

“Ini menyebabkan data atau maklumat yang diproses oleh setiap agensi itu sukar dicapai pihak NADMA dalam membantu mereka membuat keputusan, mengatur langkah ke hadapan dan sebagainya kerana tiada intergrasi dan perkongsian data.

“Perkara ini mungkin disebabkan beberapa isu antaranya data adalah bersifat sulit tetapi perlu ada mekanisme untuk semua data ini dikongsikan oleh setiap agensi kepada NADMA atau mana-mana agensi terlibat bencana,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :