Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Rodziah Ismail beramah mesra bersama penduduk ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Batu Tiga di Laman Tijarah Masjid Kampung Kuantan Klang pada 1 Oktober 2022. FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah barangan asas Batu Tiga disertai penduduk DUN berhampiran

KLANG, 2 OKT: Program Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga semalam mendapat sambutan sehingga penduduk luar DUN berkenaan turut hadir bagi mendapatkan barangan dapur pada harga murah.

Pesara Mohd Ali Omar, 67, berkata beliau tinggal di Taman Seri Andalas dan memandu hampir 15 kilometer bagi mendapatkan produk jualan berkualiti pada harga jauh lebih rendah dari pasaran.

Mohd Ali Omar, 67,

“Saya tahu program ini dari media sosial. Lokasi ini tidak jauh jadi saya datang dengan isteri. Bukan senang nak dapatkan barang dengan harga murah seperti kni.

“Dekat pasar kena keluar modal hampir RM20 untuk seekor ayam tapi dekat sini RM10 sahaja. Beras, daging pun dijual murah dan boleh buat bekalan untuk seminggu,” katanya ketika ditemui.

Suri rumah Che Yang Ismail, 59, yang tinggal di Taman Klang Utama berkata beliau memanfaatkan program berkenaan memandangkan lokasi penganjuran berdekatan rumah anaknya.

Che Yang Ismail, 79,

“Dekat Klang Utama saya pernah beli di program ini. Memang menjimatkan hampir separuh dari perbelanjaan selalu. Kalau boleh tambahkan lagi barangan dapur yang lain supaya dapat meringankan beban penduduk,” katanya.

Mereka antara ratusan pengunjung porgram jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di parkir Masjid Kampung Kuantan di sini.

Program sama turut berlangsung serentak di beberapa DUN termasuklah Sungai Panjang, Batang Kali, Bukit Antarabangsa, Kuang, Taman Medan. Tanjung Sepat dan Dengkil.

Bermula dari 9 pagi hingga 1 tengah hari, ayam standard dijual RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual pada harga murah ialah ikan kembung atau selayang dengan RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barang keperluan asas ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Batu Tiga di Laman Tijarah Masjid Kampung Kuantan, Klang pada 1 Oktober 2022. FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :