Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Pandan Indah Ir Izham Hashim meninjau program jualan murah barangan asas sempena Jelajah Ehsan Rakyat di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada 16 Oktober 2022. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah dapat sambutan, 400 ekor ayam habis kurang dua jam

AMPANG, 16 OKT: Jualan Jelajah Ehsan Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah mendapat sambutan menggalakkan apabila 400 ekor ayam habis terjual dalam tempoh kurang dua jam.

Berlangsung di kawasan parkir padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya di sini, barangan asas lain seperti telur, beras dan daging yang dijual murah berbanding harga pasaran turut habis dalam tempoh singkat.

Wakil rakyatnya Ir Izham Hashim berkata rata-rata penduduk yang hadir berpuas hati dengan usaha Kerajaan Negeri membantu rakyat dan berharap inisiatif tersebut diteruskan dari semasa ke semasa.

“Hari ini merupakan lokasi ke-14 jualan murah peringkat DUN Pandan Indah dan kebanyakan mereka gembira kerana harga barangan dibawa munasabah serta membantu meringankan beban rakyat.

“Sebagai inisiatif tambahan, kita sediakan lebih 400 bungkusan bihun dan sardin yang diberikan secara percuma kepada mereka yang datang hari ini,” katanya ditemui pada program tersebut.

Izham yang juga EXCO Kerajaan Negeri berkata pihaknya bercadang untuk menambah beberapa barangan menerusi jualan murah tersebut.

“Setakat ini, kita sudah mula menambah kuantiti ayam di lokasi yang berkepadatan tinggi sejak minggu lalu. Dalam masa sama, kita bercadang untuk tambah beberapa produk seperti tepung,” katanya.

Menerusi jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu, ayam standard dijual RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 setiap pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk  program tersebut di seluruh 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember ini melibatkan 160 lokasi.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jelajah Ehsan Rakyat adang Majlis Perbandaran Ampang Jaya pada 16 Oktober 2022. Foto Facebook Izham Hashim

Pengarang :