Orang ramai beratur seawal 7.30 pagi bagi membeli barangan asas murah pada Jualan Ehsan Rakyat meskipun cuaca hujan di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 22 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah dapat sambutan, beratur seawal 7.30 pagi meski hujan

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

KLANG, 22 OKT: Walaupun terpaksa beratur dalam cuaca hujan, orang ramai tetap tidak berganjak bagi membeli barangan asas dengan harga murah pada Jelajah Ehsan Rakyat di sini, hari ini.

Berlangsung di Stadium Sultan Suleiman sempena Jelajah Selangor Penyayang, lebih 250 pengunjung yang beratur sejak jam 7.30 pagi tidak melepaskan peluang mendapatkan penjimatan tersebut.

Pengurus Perolehan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Nor Asilah Atdenan

Pengurus Perolehan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Nor Asilah Atdenan berkata sebanyak 500 ekor ayam standard, daging pejal (300 pek), minyak masak 5 kg (150 botol), beras (300 kampit), ikan (300 pek) dan telur (300 papan) disediakan pada program kali ini.

“Setiap pembeli boleh membeli satu unit bagi setiap barangan yang ditawarkan untuk memberi peluang kepada semua mendapatkan barangan keperluan.

“Program ini memang sentiasa ditunggu-tunggu malah kita boleh lihat mereka tetap beratur dalam hujan lebat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menerusi inisiatif tersebut, ayam standard dijual RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 setiap pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk  program tersebut di seluruh 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember ini melibatkan 160 lokasi.

Maklumat lokasi Jelajah Ehsan Rakyat juga boleh diperoleh dengan melayari pautan https://linktr.ee/myPKPS

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas murah pada Jualan Ehsan Rakyat di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 22 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :