Petugas menyediakan barangan asas kepada pembeli sempena Jualan Ehsan Rakyat di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 14 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah PKPS bantu suri rumah jimat belanja mingguan

SABAK BERNAM, 15 OKT: Jelajah Ehsan Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membantu suri rumah menjimatkan kos belanja mingguan.

Eng Kai Lin, 32, berkata beliau hanya mengeluarkan modal sebanyak RM40 bagi mendapatkan ayam, telur dan minyak masak.

Eng Kai Lin

“Selalunya kalau beli di luar, kos belanja lebih tinggi berbanding hari ini. Memang jualan ini murah berbanding tempat lain.

“Saya harap program seperti ini kerap diadakan supaya boleh membantu keluarga berpendapatan rendah,” katanya ditemui di jualan murah barangan asas di sini semalam.

Sementara itu peniaga kecil, Norini Johrani, 57, berkata beliau menanti penganjuran jualan terbabit kerana mudah mendapatkan bekalan barangan dapur.

Norini Johrani

“Ini kali ke lima saya membeli di program ini. Harga ditawarkan sangat murah berbanding tempat lain malah produk dijual juga segar dan berkualiti.

“Sekarang lebih mudah dapatkan bekalan telur di sini berbanding kedai atau pasar raya. Ini memudahkan penduduk mendapatkan keperluan,” katanya.

Semalam, inisiatif berkenaan dilangsungkan dua hari sehingga hari ini sempena penganjuran Jelajah Selangor Penyayang di daerah ini.

Sebanyak 2,000 ayam standard dijual bagi menampung keperluan pengunjung selain 1,200 papan telur, beras 5 kg dan minyak masak 5 kg.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk program tersebut di 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember melibatkan 160 lokasi.


Pengarang :