Kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyusun barangan jualan ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Flat Selayang Mulia,Gombak pada 2 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Jualan murah sempena Deepavali, mudahkan penduduk beli keperluan

GOMBAK, 16 OKT: Jelajah Ehsan Rakyat khas sempena Deepavali akan diadakan pada 22 Oktober ini bagi memudahkan masyarakat India di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua mendapat keperluan raya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program bakal diadakan di Selayang Baru, dekat sini bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari.

“Selain menjual produk sedia ada, kali ini kita turut jual daging kambing pada harga lebih rendah dari pasaran. Ini memudahkan penduduk mendapat kelengkapan diperlukan ketika Deepavali,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni penerima baucar pada program Jom Shopping Deepavali DUN Sungai Tua di Sri Ternak, Gombak pada 16 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui pada majlis agihan baucar Jom Shopping Deepavali bernilai RM100 di Pasaraya Sri Ternak Selayang Baru di sini hari ini.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk program jualan kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember melibatkan 160 lokasi.

Inisiatif berkenaan menawarkan barang keperluan asas seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual pada harga murah ialah ikan kembung atau selayang dengan RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).


Pengarang :