Mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah. Foto Facebook APM Negeri Kedah
AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 267 orang

ALOR SETAR, 29 OKT: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah meningkat kepada 267 orang daripada 87 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 87 orang daripada 27 keluarga semalam.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata empat PPS baharu telah dibuka di daerah Baling dan Kota Setar, malam tadi.

“Tiga PPS dibuka di Baling pada 8 malam iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pari yang menempatkan 57 orang daripada 20 keluarga, PPS SK Sri Bayu (33 orang, 11 keluarga) dan PPS SK Siong (18 orang, sembilan keluarga).

“Satu PPS di Kota Setar ialah SK Suka Menanti yang mula beroperasi pada 7.30 malam dengan menempatkan 73 orang daripada 21 keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Suhaimi berkata PPS SK Binjai yang dibuka di Kubang Pasu sejak Rabu lepas pula masih menempatkan 86 orang daripada 26 keluarga.

“Hujan lebat selama beberapa jam di daerah Baling dan Kota Setar telah menyebabkan paras air meningkat dan berlakunya banjir. Keadaan cuaca pagi ini mendung,” katanya.

Sementara itu, laman web rasmi Public Inforbanjir Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan paras Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar mencatatkan bacaan 2.82 meter iaitu melepasi paras bahaya dengan trend menaik setakat 9 pagi.

Paras Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar pula melebihi tahap amaran dengan 1.89 meter.

– BERNAMA


Pengarang :