Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah melakukan pemantauan di sekitar Sungai Anak Bukit, Alor Setar berikutan air sungai mencatatkan paras waspada pada 9 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Kedah menurun kepada 95 orang

ALOR SETAR, 31 OKT: Jumlah mangsa banjir di Kedah menurun kepada 95 orang berbanding 141 semalam yang masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kubang Pasu dan Kota Setar, setakat 8 pagi ini.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa yang ditempatkan di dua PPS itu terdiri daripada 32 keluarga.

“Di daerah Kubang Pasu, satu PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai yang dibuka sejak 26 Oktober lepas masih menempatkan 20 orang daripada tujuh keluarga.

“PPS SK Suka Menanti di daerah Kota Setar yang dibuka sejak 28 Oktober lalu pula menempatkan 75 orang daripada 25 keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Suhaimi berkata mangsa yang berada di dua PPS berkenaan belum pulang ke rumah masing-masing kerana paras air masih belum surut sepenuhnya buat masa ini berikutan keadaan cuaca hujan yang turun secara tidak menentu.

– BERNAMA


Pengarang :