Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika konvensyen gabungan itu di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), Ipoh pada 20 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Kabinet HARAPAN kecilkan gaji, elaun jika Anwar jadi PM

IPOH, 21 OKT: Jumlah gaji dan elaun perdana menteri akan dipotong jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalas jawatan itu selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata langkah tersebut perlu bermula dari jawatan teratas pentadbiran sebelum diperluas kepada barisan Kabinet.

“Saudara beri mandat kepada Anwar. Jadi Anwar mesti kemukakan contoh yang baik. Rakyat susah dan menderita. Kalau mahu Anwar sebagai perdana menteri, jumlah gaji mesti dikurangkan.

“Biar saya beri jaminan. Kalau diizin Allah, 20 November saya dinobatkan perdana menteri. Saya tidak sanggup ambil gaji dalam keadaaan ekonomi ketika ini,” katanya berucap di Konvensyen HARAPAN di sini malam tadi.

Ribuan penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) hadir memberi sokongan sempena Konvensyen HARAPAN di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), Ipoh pada 20 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Anwar yang juga presiden KEADILAN diumum sebagai calon jawatan nombor satu negara jika HARAPAN mendapat mandat rakyat dan berjaya menawan Putrajaya.

Beliau sendiri turut membuat pengumuman bakal bertanding di Parlimen Tambun bagi membantu menaikkan martabat negeri ini selain menjadi gergasi ekonomi baharu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November sebagai hari mengundi, penamaan calon pada 5 November sementara pengundian awal 15 November, dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Pelaksanaan PRU15 melibatkan peringkat Parlimen seluruh negara dan negeri yang telah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Perak, Pahang dan Perlis.

Turut diadakan serentak adalah pilihan raya kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah.


Pengarang :