Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Amirudin Shari melawat ke reruai jualan ketika Majlis penutup Karnival Usahawan I-Seed sempena Deepavali 2022 di Dataran Chetty, Klang pada 9 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Karnival usahawan India jadi aspirasi luaskan pasaran produk

KLANG, 10 OKT: Karnival Usahawan Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-Seed) yang julung kali diadakan Jumaat lalu memberi peluang kepada 100 peniaga kecil memperkenal produk mereka.

EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau berkata karnival tiga hari itu juga bakal menjadi aspirasi kepada peserta untuk memperkasakan perniagaan secara lebih meluas.

“Program ini merupakan platform untuk agensi kerajaan menghebahkan bantuan serta insentif disediakan dalam membantu masyarakat.

“Kita harap usaha ini menambah ilmu pengetahuan peserta dan dapat meningkatkan jualan ke satu fasa yang lebih baik,” katanya berucap di penutup karnival berkenaan.

Majlis berlangsung di Dataran Chetty dekat sini yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Program I-Seed dilancar pada 7 April tahun lalu bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kaum India melalui pemberian bantuan peralatan bergantung kepada perniagaan yang mereka usahakan.

Antara syarat kelayakan adalah rakyat Selangor atau bermastautin lebih 10 tahun, individu dan seisi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan dan perniagaan mesti beroperasi di negeri ini.


Pengarang :