Pengurus Besar Pengurusan Subsidiari & Pelaksana Projek KDEBWM, Ahadi Haji Mohd Nasir memasukkan pakain terpakai sambil diperhatikan oleh Pengasas Bersama Kloth Cares Nik Suzila Hassan (dua, kiri), Pengarah Eksekutif merangkap Pegawai Utama Seltrade Mohd Nizam Mohd Ishak dan Pengarang Kumpulan Media Selangor Fathi Aris Omar (kanan) dan pada Majlis Pelancaran Kloth Cares Bin sempena Hari Alam Sekitar Negara 2022 KDEBWM di Lobi Menara Bank Rakyat, Shah Alam pada 21 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

KDEBWM, Kloth Cares sedia tong kitar semula fabrik

SHAH ALAM, 21 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) dengan kerjasama Kloth Cares menyediakan tong kitar semula fabrik di lobi Menara Bank Rakyat Shah Alam.

Pengurus Besar Pengurusan Subsidiari & Pelaksana Projek Ahadi Mohd Nasir berkata tong itu boleh diisi dengan pakaian, kasut, beg ataupun tudung yang tidak lagi digunakan.

Menurut beliau semua barangan berkenaan akan dikutip Kloth Cares untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan ataupun dikitar semula menjadi produk lain.

“Ini adalah tong kedua kerjasama KDEBWM dengan Kloth Cares. Tong pertama diletakkan di pusat kitar semula komuniti di Cyberjaya yang mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Sepang.

“Hasrat kita mahu lebih banyak tong fabrik kitar semula disedia pada masa akan datang kerana orang ramai lebih tahu kitar semula tin, botol dan kertas sahaja, sedangkan fabrik juga boleh,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Tong Kloth Cares dengan kerjasama KDEBWM di Menara Bank Rakyat Shah Alam, hari ini.

Turut hadir pengasas bersama Kloth Cares Nik Suzila Hassan dan Pengarang Kumpulan Media Selangor Fathi Aris Omar.

Kloth Cares adalah pergerakan keusahawanan sosial tempatan yang menerapkan konsep 3R (guna semula, kurang dan kitar semula).


Pengarang :