Warga emas penghuni Rumah Jubeli Perak King George V, Pudu meraikan sambutan Tahun Baharu Cina dalam norma baharu ketika tinjauan sempena perayaan itu pada 1 Februari 2022. Foto BERNAMA
PENDAPAT RENCANA

Ke arah negara menua, Malaysia perlu lebih banyak kemudahan rehabilitasi

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Sekalipun perubatan rehabilitasi menembusi industri penjagaan kesihatan negara ini sebagai perubatan khusus sejak lebih 20 tahun lalu, perkhidmatan sedemikian masih tidak banyak ditawarkan.

Di negara Asia lain seperti China dan Korea Selatan misalnya, sistem penjagaan kesihatan mereka menyediakan program pemulihan yang khusus untuk memastikan pesakit benar-benar pulih selepas dimasukkan ke hospital akibat masalah kesihatan akut seperti angin ahmar dan pembedahan, serta bagi masalah ortopedik, neurologi dan lain-lain.

Menurut pakar industri, sektor ini, termasuk rawatan pemulihan yang intensif dan komprehensif, dijangka berdepan peningkatan permintaan berikutan Malaysia diunjur berstatus negara menua menjelang 2030.

Apatah lagi Kajian Beban Global Penyakit 2019 pula menemukan purata jangka hayat rakyat Malaysia ialah 75 tahun namun purata jangka hayat sihat cuma 65.7 tahun.

Antara fasiliti yang menawarkan perubatan rehabilitasi di Malaysia ialah ReGen Rehab Hospital di Petaling Jaya, Selangor. Dibuka empat tahun lalu, kemudahan ini dimiliki oleh Regen Rehabilitation International Sdn Bhd, sebuah syarikat usaha sama di antara Khazanah Nasional Berhad dan Select Medical International, sebuah penyedia perkhidmatan pascajagaan akut berpangkalan di Amerika Syarikat.

ReGen Rehab Hospital juga merupakan kemudahan rehabilitasi swasta pertama di Malaysia yang dilesenkan oleh Kementerian Kesihatan.

Antara aktiviti bermanfaat yang dijalankan di ReGen Rehab Hospital di Petaling Jaya. Foto Facebook ReGen Rehab Hospital

Penjagaan berterusan

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohamad Hanafi Salehuddin dalam temu bual dengan Bernama, berkata hospital itu menawarkan program rehabilitasi komprehensif yang boleh dianggap sebagai “peluang terbaik untuk memulihkan kembali keupayaan fizikal dan kognitif pesakit kami.”

Rehabilitasi bertujuan memaksimumkan kesihatan fungsian menerusi penjagaan menyeluruh dalam persekitaran khusus, jelas beliau.

“Antara masalah kesihatan yang kami rawat ialah angin ahmar atau strok, kecederaan pascatrauma dan pascapembedahan, selain masalah berpunca daripada kegiatan sukan serta ortopedik dan neurologi, dan banyak lagi,” katanya.

Menurut beliau, umumnya, rawatan rehabilitasi atau pemulihan mengambil masa dua hingga empat minggu, bergantung pada keadaan pesakit dan pelan rawatan.

Rehabilitasi bagi pesakit strok akan mengambil masa lebih lama, kata beliau dan menambah setiap program pemulihan direka khusus bagi menyokong sasaran pemulihan pesakit.

Antara program rehabilitasi yang ditawarkan oleh hospital itu ialah pemulihan neuro melibatkan pesakit dengan masalah kesihatan seperti kecederaan dan trauma otak, Parkinson dan penyakit motor neuron.

Turut ditawarkan ialah pemulihan pascakoma, terapi kognitif dan tingkah laku, terapi robotik dan realiti maya serta stimulasi otak tidak invasif dan latihan keseimbangan.

Mohamad Hanafi berkata perubatan rehabilitasi antara perkhidmatan paling tinggi permintaan oleh pesakit yang dimasukkan ke wad. Di hospital itu, rehabilitasi disasarkan kepada pesakit pascapembedahan, kanser, jantung dan geriatrik.

“Kami juga menawarkan pemulihan rehabilitasi ortopedik yang merawat pelbagai masalah muskuloskeletal. Rawatan ini bagus untuk mereka yang baru sahaja menjalani pembedahan penggantian sendi atau keretakan tulang atau menghidap sakit belakang dan leher yang kronik selain kecederaan berkaitan pekerjaan,” jelasnya.

Menurutnya, mereka juga bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial menerusi program ‘Return-To-Work’ bagi merawat pekerja yang mengalami kecederaan berkaitan pekerjaan.

“Ini merupakan satu kerjasama yang bagus yang mana kami mengadakan usaha sama dengan organisasi dan majikan lain,” katanya.

Sukarelawan membantu menolak kerusi roda penerima warga emas bagi memudahkan urusan ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Jeram di Dewan MDKS, Bandar Baru, Kuala Selangor pada 3 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Exoskeletal robotic

Sementara itu, Ketua Pegawai Perubatan ReGen Rehab Hospital Prof Dr Lydia Abdul Latif berkata program exoskeletal robotic atau robotik rangka luar membolehkan pesakit dengan kecederaan saraf tunjang, strok atau lain-lain keadaan perubatan yang menjejaskan keupayaan berjalan, belajar untuk kembali berdiri dan menampung berat tubuh serta corak melangkah untuk berjalan.

“Prinsip yang tersirat di sebalik latihan ini ialah latihan berulang secara bersasar akan membawa kepada pemulihan motor,” jelasnya.

Tambah beliau, exoskeletal robotic membantu pesakit membina keplastikan neuron, seterusnya memperoleh kemahiran menerusi pengulangan dan peningkatan latihan, sekali gus membolehkan mereka pulih pada kadar lebih cepat.

Sementara itu, Mohamad Hanafi berkata selaku ahli Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia, ReGen Rehab Hospital juga memperoleh manfaat daripada sektor pelancongan perubatan negara apabila ia berjaya menembusi pasaran Indonesia, iaitu antara pasaran utama yang dikenal pasti dalam pasaran ASEAN.

Beliau berkata wujud pasaran yang besar untuk perubatan pemulihan di Indonesia berikutan penyakit angin ahmar merupakan antara penyebab utama morbiditi di republik itu.

“Memandangkan negara kita sedang berusaha untuk memperkukuh ekosistem pelancongan kesihatan, saya percaya pelancongan perubatan pemulihan adalah pasaran khusus dan penting yang akan mengukuhkan lagi penguasaan dan penawaran penjagaan kesihatan Malaysia dalam pasaran utama, selaku kelebihan daya saing.

“Kami mengetengahkan agenda pelancongan perubatan pemulihan kepada pasaran, dan sejak pembukaan semula sempadan Malaysia, sistem penjagaan kesihatan kita kembali menerima kemasukan pesakit antarabangsa, iaitu kunci dalam menggiatkan semula ekonomi dan sektor pelancongan kesihatan negara.

“Malaysia menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia, mudah diakses serta mampu milik kepada pesakit antarabangsa. Ini termasuk perkhidmatan perubatan pemulihan,” tambah beliau.

-BERNAMA


Pengarang :