Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan memeriksa kemudahan menyelamat selepas melancarkan Skuad Banjir Hulu Selangor di Antara Gapi, Hulun Selangor pada 16 Oktober 2022. Foto Facebook Dr Sathia Prakash Nadarajan
AGENDANASIONAL

KEADILAN Hulu Selangor lancar skuad bantuan banjir, dianggotai 50 sukarelawan

SHAH ALAM, 17 OKT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Hulu Selangor melancarkan skuad bantuan banjir sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh di kawasan itu.

Ketua Cabangnya Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata sekuad tersebut bersedia mengendalikan lebih 250,000 penduduk dalam kawasan seluas 1,700km kaki persegi, lapor Malaysiakini hari ini.

“Kita lihat kerajaan semakin sibuk melancarkan jentera pilihan raya menghadapi PRU15. Tapi, ada pihak tidak terfikir musim tengkujuh ini di mana kawasan-kawasan yang mengalami banjir perlu bersiap-sedia untuk menghadapinya.

“Bagi kami pelancaran skuad banjir ini sama penting. Walaupun parlimen dah bubar, kita tetap kena fikir pasal banjir,” katanya.

Semalam, Dr Sathia menghadiri latihan stimulasi banjir serentak melancarkan skuad dianggotai 50 sukarelawan di Antara Gapi bagi memastikan kecekapan operasi menghadapi musim banjir hujung tahun ini.

Beliau berkata skuad berkenaan turut berfungsi membekalkan makanan kering, pakaian selain kemudahan asas lain seperti lampu diod pemancar cahaya (LED), lilin, mesin janakuasa, bateri sokongan, bot kayak dan ubat-ubatan.

“Kami telah mengenal pasti beberapa kawasan hotspot banjir terutama di kawasan berdekatan sungai.

“Pada masa yang sama, kami juga memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan yang berpotensi tinggi mengalami banjir yang tidak mengalami banjir sebelum ini,” katanya.


Pengarang :