Penduduk meredah banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KEADILAN rekrut sukarelawan, siap siaga hadapi banjir

Norzilawati Sidek

SHAH ALAM, 6 OKT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengajak orang ramai untuk menjadi sukarelawan bagi menghadapi banjir hujung tahun ini melalui laman sesawang sukarelawankeadilan.org.

Naib presidennya berkata buat pertama kali parti itu mewujudkan portfolio pengarah sukarelawan memandangkan persiapan menghadapi banjir menjadi sebahagian persediaan bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Perancangan pilihan raya kali ini paling unik dan luar biasa. Sebagai pengarah pilihan raya, saya perlu merancang kekuatan jentera KEADILAN untuk membantu banjir sekali.

“Kita akan rekrut seberapa ramai sukarelawan dua minggu dari sekarang seluruh malaysia untuk bersiap siaga berdepan banjir,” kata Rafizi Ramli pada sidang media KEADILAN hari ini.

Beliau yang juga pengarah pilihan raya parti berkata portfolio yang diketuai Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Fahmi Zainol kini sedang bekerjasama dengan segolongan anak muda bagi mendapat kelengkapan asas bantuan banjir.

“Sukarelawan ini akan bergerak dua minggu dari sekarang tanpa mengira Parlimen dibubarkan atau tidak,” katanya.

Mengulas keputusan tiga negeri Pakatan Harapan (HARAPAN) enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai persediaan banjir, Rafizi berkata langkah itu cukup berisiko kerana ada penyokong mengatakannya tidak tepat.

“Tapi saya dan kepimpinan yang lain berpendapat fungsi parti politik bukanlah semata-mata untuk menang, yang lebih penting ialah khidmat dan juga kebersamaan kita dengan rakyat,” katanya.

Semalam, Majlis Presiden mengumumkan tiga negeri bawah pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak bersedia membubarkan DUN masing-masing.

Gabungan itu menerima pendirian Menteri Besar Selangor, Negeri Sembilan dan Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa DUN negeri terbabit akan dibubarkan pada satu tarikh yang akan diumum kelak pada 2023.


Pengarang :