Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli ditemu bual Media Selangor di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di Shah Alam pada 30 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KEADILAN yakin pindaan akta anti hendap mampu lindungi mangsa

SHAH ALAM, 7 OKT: Keputusan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2022 berkaitan jenayah hendap mampu memberi hak dan perlindungan kepada mangsa.

Timbalan ketua wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata kelulusan akta itu memberi isyarat kepada mangsa yang kebanyakannya wanita agar tidak takut melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

“Saya percaya dengan pindaan RUU ini akan mampu memberikan perlindungan dan menyediakan respon yang lebih substantif kepada mangsa.

“Semoga dengan peruntukan undang-undang ini dapat memberikan lebih rasa selamat kepada golongan wanita khususnya,” kata Juwairiya Zulkifli dalam kenyataan.

Isnin lalu, Dewan Rakyat secara sebulat suara meluluskan pindaan Akta 593 yang memperuntuk mangsa hendap boleh memohon mendapatkan perintah perlindungan sebaik sahaja pelakunya disiasat polis.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata perintah perlindungan boleh dimohon mengikut Seksyen 98A(1) secara ex parte oleh mangsa, wakil mangsa, penjaga kanak-kanak atau orang kurang upaya.

Juwairiya yang juga wakil rakyat Bukit Melawati menyambut baik pindaan akta itu mengatakan menghendap masih tidak dianggap sebagai satu kesalahan di negara ini.

“Kajian oleh Women’s Aid Organisation (WAO) dan Vase.ai pada 2020 mendapati lebih 36 peratus rakyat Malaysia pernah dihendap mengakibatkan mereka ketakutan dan boleh menyebabkan kecederaan.

“Dan perbuatan menghendap ini dilakukan lebih dari sekali dan secara berterusan,” katanya.


Pengarang :