Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Multaqa Murabbi Ummah peringkat negeri di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam pada 18 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Kerajaan Negeri tekad perkasa institusi Islam, tampung keperluan penduduk

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 18 OKT: Kerajaan Negeri menerusi agensi agama sentiasa tekad memperkasa syiar Islam bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.

Dato’ Menteri Besar berkata pelbagai inisiatif dilaksana bagi memastikan kesinambungan usaha memartabatkan Islam termasuk meningkatkan prasarana masjid dan sekolah agama.

“Statistik Jabatan Perangkaan tahun ini mencatatkan penduduk Selangor sebanyak 7.04 juta dan 4.3 juta daripadanya beragama Islam.

“Susulan persekitaran ekonomi mampan dan bilangan penduduk Islam yang terus bertambah, keperluan institusi melibatkan umat Islam seperti insfrastruktur masjid, surau dan sekolah semakin meningkat.

“Setakat September lalu, Selangor memiliki sebanyak 435 masjid, 346 surau kebenaran solat jumaat dan 1,765 surau kariah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Menyentuh aspek penyediaan keperluan pendidikan, beliau berkata Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedang menyelia dan mengurus 576 sekolah agama.

“Kita juga membenarkan penubuhan sekolah agama swasta bagi menampung keperluan pendidikan sehingga kini sebanyak 953 sekolah agama swasta didaftarkan oleh Jais.

“Kerajaan Negeri melalui bajet mengurus tahun ini memperuntukkan RM279.8 juta dan RM79.7 juta daripadanya untuk bajet pembangunan kepada Jais. Daripada jumlah itusebanyak RM68 juta diperuntuk untuk elaun lantikan 2,800 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) lantikan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia dan 4,200 lantik negeri,” katanya.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad (dua, kiri) menyampaikan cek cura peruntukan kewangan imam, bilal, siak, guru takmir dan guru kafa oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) sempena Multaqa Murabbi Ummah peringkat negeri di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam pada 18 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu beliau merasmikan Multaqa Murabbi Ummah (MMU) Peringkat Negeri Selangor 2022 di sini.

Pada majlis itu, kerajaan persekutuan menyalurkan peruntukan kewangan RM51.9 juta kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kafa Selangor.

Selain itu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agensi Yayasan Taqwa, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyumbang RM785,000 untuk pembinaan dan baik pulih 33 masjid dan 91 surau di lapan daerah yang terkesan akibat musibah banjir.

Cek sumbangan disampaikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.


Pengarang :