Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Pakatan Harapan (HARAPAN) Pahang #MohTukor di Pusat Khidmat DUN Mentakab, Pahang pada 19 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan tidak buat PRU jika betul mahu selamatkan negara

MENTAKAB, 20 OKT: Kerajaan tidak akan mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada musim tengkujuh sekiranya benar-benar mahu menyelamatkan negara.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Pahang berkata tindakan tergesa-gesa kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) membubar Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 menyebabkan negara terpaksa berdepan situasi tidak diingini seperti banjir.

“BN fikir mahu selamatkan negara ke? PN (Perikatan Nasional) fikir mahu selamat negara ke? Kalau BN mahu selamatkan negara, dia tak buat PRU. Bukan kita yang kata hujan dan banjir boleh berlaku, ini ramalan dan kajian Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Malahan dalam titah Yang di-Pertuan Agong ada menyebut supaya (kerajaan) tumpu usaha tangani isu banjir. Cuba lihat apa kenyataan Istana Negara ketika isu pembubaran Parlimen. (Datuk Seri) Ismail Sabri Yaakob kata (kita) mahu lawan Agong.

“Tengok dulu ayat terkandung dalam kenyataan itu. Tuanku berdukacita dengan beberapa tindak-tanduk yang menyebabkan Tuanku tiada pilihan untuk bubar Parlimen supaya mencari kerajaan yang stabil dan baik,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Berucap sempena Jelajah HARAPAN Pahang di pekarangan pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri Mentakab di sini malam tadi, Dato’ Menteri Besar Selangor turut membidas dakwaan pentadbiran HARAPAN tidak stabil kerana bertahan hanya 22 bulan.

“HARAPAN kena tuduh kencing, tak stabil. BN kata pilihlah kami (kerana) kami bawa kestabilan dan kemakmuran. Itulah kata-kata dia.

“Kalau HARAPAN bertahan 22 bulan, PN 17 bulan, BN 14 bulan lebih tak stabil,” kata Amirudin sinis.


Pengarang :