Keadaan Kafa-i As-Sufla di Kampung Bukit Lanchong, Subang Jaya selepas dibaik pulih. Foto REMY ARIFFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Ketua guru terharu negeri bantu pulih sekolah agama musnah dibadai bah

Mohd Razif Mohamad Som hilang kata-kata sebaik melihat sekolah agama tempatnya mengajar, Kelas al-Quran dan Fardu Ain Integrasi (Kafa-i) As-Sufla di Kampung Bukit Lanchong, Subang Jaya ditenggelami banjir besar Disember tahun lalu.

Kampung Bukit Lanchong yang dihuni 1,670 penduduk antara terjejas teruk. Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Hati ketua guru itu bertambah hiba apabila meninjau keadaan sekolah berusia 37 tahun itu selepas air surut. Dilihatnya meja hanyut, siling bilik guru runtuh, buku teks musnah, peralatan seperti mesin pencetak dan komputer selain pendawaian turut rosak.

Keadaan Kafa-i As-Sufla di Kampung Bukit Lanchong, Subang Jaya ketika dilanda banjir pada Disember tahun lalu. Foto ihsan Kafa-i As-Sufla

Terdetik di hati bagaimana anak muridnya hendak bersekolah. Dengan keadaan seperti itu, kos membaiki bukan murah dan mungkin mencecah ratusan ribu ringgit.

Pendapatannya hanya bergantung kepada kutipan yuran RM20 sebulan selain peruntukan Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang membantu membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk 11 tenaga pengajarnya.

Mohd Razif buntu mencari dana untuk membaiki kerosakan di sekolah itu. Beliau sebolehnya mahu ia dibaiki segera bagi membolehkan 360 anak muridnya meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.

Lantas beliau memohon bantuan Jais yang memintanya mengemukakan laporan. Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Mac berkata ada lima sekolah agama termasuk Kafa-i As-Sufla membuat permohonan bantuan pulih infrastruktur rosak akibat bencana itu.

Ketua guru Kafa-i As-Sufla, Mohd Razif Mohamad Som menunjukkan koleksi gambar sekolah berkenaan ketika dilanda banjir pada Disember tahun lalu. Foto REMY ARIFFIN/SELANGORKINI

Carum Perkeso

Turut memohon Sekolah Rendah Agama (SRA) Taman Tun Perak (Hulu Langat), SRA Al-Hidayah, Taman Tun Teja dan Sekolah Rendah Assiddiqin, Bandar Tasik Puteri Rawang (Gombak) dan SRA Merbau Sempak (Petaling).

“Alhamdulillah permohonan kami diluluskan, RM100,000 diperuntuk untuk baik pulih manakala RM100,000 bagi kerja membaiki pendawaian. Lembaga Zakat Selangor (LZS) pun bantu RM50,000.

“Sekolah ini cantik sekarang dan peralatannya pun canggih, mungkin ini hikmah di sebalik dugaan (banjir besar pada 18 Disember).

“Kami bersyukur dengan keprihatinan Kerajaan Negeri yang menyalurkan segera bantuan. Ia sangat dihargai kerana sekarang murid dapat belajar dengan selesa,” katanya kepada Selangorkini pada 30 September.

Beliau turut menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri membayar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk guru sekolah itu. Ia benar-benar memberi manfaat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika penularan Covid-19.

“Dapat ringankan beban bayar tiga bulan gaji guru dengan membuat tuntutan daripada Perkeso, ketika itu keadaan kewangan memang agak ‘tenat’ sebab ibu bapa tidak bayar yuran bulanan kerana anak tidak ke sekolah.

“Bagaimana kalau Kerajaan Negeri tidak sedia kemudahan terbabit, mungkin sukar keadaan kami waktu itu,” ujarnya.

Keadaan bilik darjah dan perabot Kafa-i As-Sufla yang musnah dalam banjir pada Disember tahun lalu. Foto ihsan Kafa-i As-Sufla

Rasa syukur juga dizahirkan pengurusan Kafa-i Nurul Huda Parit Mahang yang turut menerima bantuan membaiki kerosakan akibat banjir. Premis di Kuala Selangor itu mendapat dana RM40,000 yang disampaikan Amirudin pada Jelajah Selangor Penyayang di daerah itu pada Julai.

“Alhamdulillah dengan bantuan ini kami bercadang untuk menggantikan pintu dan beberapa peralatan yang rosak disebabkan banjir demi keselesaan pelajar dan guru.

“Terima kasih Kerajaan Selangor atas sumbangan ini, nilainya cukup besar dan amat membantu untuk baik pulih kafa ini demi keselesaan 509 pelajar,” kata ketua gurunya Sorayah Mohd Som.


Pengarang :