AGENDA NASIONAL

Kongsi kata laluan akaun bank tingkat risiko ditipu, diperalat

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Kesanggupan individu berkongsi kata laluan atau nombor pengenalan peribadi (PIN) akaun bank dengan kawan rapat boleh meningkatkan risiko penipuan dalam talian, termasuk diperalatkan sebagai ‘akaun keldai’ sama ada secara sedar atau tidak sedar, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurut Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Segi Permintaan 2021 oleh BNM, satu daripada tiga individu menyatakan mereka sanggup berbuat demikian, manakala hampir dua daripada tiga individu tidak memberikan perhatian pada ciri keselamatan laman sesawang sebelum melakukan transaksi dalam talian.

“Kesannya, individu lebih mudah diperdaya untuk memberikan maklumat perbankan mereka melalui laman sesawang palsu yang membolehkan penipu menggunakan maklumat tersebut untuk melakukan penipuan.

“Penggunaan peranti dan aplikasi mudah alih yang kurang teliti juga telah menyebabkan individu menjadi mangsa penipuan seperti pancing data (phishing), penggodaman dan kecurian data,” kata Timbalan Gabenor Jessica Chew dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Bulan Literasi Kewangan 2022 (FLM2022) menerusi inisiatif Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) pada 1 Oktober lepas.

FLM2022 merupakan acara utama tahunan FEN untuk meningkatkan kesedaran pengguna mengenai isu-isu kewangan penting dan menambah baik tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia sementara FEN adalah platform antara agensi yang dipengerusikan bersama BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Dalam pada itu, FLM2022 akan berlangsung sepanjang bulan Oktober 2022, bertujuan untuk menyebarkan kesedaran dan pendidikan kewangan, terutamanya tentang celik kewangan digital.

“Perbincangan ‘Sembang dan Sebar’ semasa program jelajah ini akan memberikan tumpuan pada modus operandi penipuan kewangan terkini dan konsep 3S (Soal, Sekat dan Sebar) untuk melindungi rakyat daripada penipuan kewangan.

“Selain itu, ia akan mempertingkatkan kesedaran mengenai e-pembayaran dan kepentingan insurans dan takaful, terutamanya inisiatif Perlindungan Tenang, yang menyasarkan segmen yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan,” kata BNM.

Selain program jelajah, ahli-ahli FEN serta rakan strategik akan menganjurkan pelbagai program lain antaranya Pameran FLM2022, Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan, sesi khidmat nasihat perancangan kewangan #FINPLAN4U, dan ceramah Minggu Literasi Kewangan tentang pelbagai topik termasuk celik kewangan digital.

Ia juga akan menganjurkan program kesedaran tentang penipuan kewangan dan perancangan persaraan, siri webinar Semak Sebelum di Scam, InvestSmart® Fest 2022, Pertandingan Video MyDuitStory 3.0 bertemakan #TakNakScam serta program pendidikan MyMoney&Me dan Fun(d) for Life.

Sepanjang FLM2022, bas FEN Mobile akan menjelajah ke 61 lokasi di seluruh negara dari kawasan pusat bandar ke kawasan luar bandar.

Orang ramai juga boleh mendapatkan bantuan untuk pendaftaran e-CCRIS bagi mengakses laporan kredit mereka secara dalam talian.

Maklumat mengenai lokasi bas dan jelajah boleh didapati menerusi www.fenetwork.my .

– BERNAMA


Pengarang :