Pengarah Majlis Sukan Negeri Selangor Muhamad Nizam Marjugi (dua, kanan) menyerahkan bendera Selangor kepada Ketua Kontinjen Azura Sarbin (dua, kiri) sempena majlis perasmian Penyerahan Bendera Kontinjen Para SUKMA Selangor 2022 di Hotel Nexus Regency, Shah Alam pada 21 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Kontinjen Selangor sasar menang 76 pingat dalam Para SUKMA

SHAH ALAM, 22 OKT: Selangor menyasarkan memenangi 76 pingat dalam kejohanan Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Kuala Lumpur pada 1 hingga 6 November ini.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor berkata kontinjen negeri diwakili atlet orang kelainan upaya (OKU) itu turut akan berusaha mencapai sekurang-kurang tempat keenam pada kejohanan kali ini berbanding kelapan (Para SUKMA Perak 2018).

“Rekod pencapaian atlet OKU Selangor dari tahun ke tahun menunjukkan peningkatan membanggakan apabila memungut 30 pingat dengan tempat ke-11 di Perlis pada 2014.

“Pada 2016 di Sarawak naik dua anak tangga dan menang 38 pingat seterusnya meningkat lagi di Perak dengan 61 pingat,” kata Azura Sarbin yang juga ketua kontinjen negeri ke temasya sukan dwitahunan itu.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penyerahan Bendera Kontinjen Para SUKMA Ke-20 di Nexus Regency Suites & Hotel di sini semalam.

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Muhamad Nizam Marjugi menyempurnakan majlis penyerahan bendera kepada Azura yang mengetuai kontinjen diwakili 96 atlet dan 46 pegawai pengiring.

Kejohanan itu melibatkan 10 acara sukan iaitu olahraga, memanah, badminton, ‘powerlifting’, renang, ping pong, boling padang, ‘boccia’, catur dan tenpin boling dengan menawarkan 294 pingat.

Kategori kecacatan terlibat seperti OKU anggota, OKU penglihatan, spastik dan OKU akal.

Sementara itu, Muhamad Nizam berkata pihaknya sedia membantu mempersiapkan atlet OKU ke pelbagai kejohanan termasuk Para SUKMA.

“Selain aspek latihan, MSN negeri juga membantu dari segi bayaran elaun untuk jurulatih mereka,” katanya.


Pengarang :