Bendera parti memenuhi sepanjang jalan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kulai sempena pilihan raya negeri Johor ketika tinjauan pada 11 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Konvensyen HARAPAN dianjak ke 20 Oktober, hari sama SPR tentukan tarikh PRU15

PETALING JAYA, 12 OKT: Konvensyen Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dirancang diadakan pada 29 Oktober telah dianjakkan kepada 20 Oktober, hari yang sama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Komunikasi HARAPAN Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata konvensyen pada 20 Oktober itu masih bertempat di Perak, namun lokasinya akan dimaklumkan kemudian.

“Jadi kalau di sebelah petang SPR akan umum tarikh (berkaitan PRU15), malam itu kita akan sambut dengan satu konvensyen di Perak,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN di sini hari ini.

Pada 8 Oktober lepas, Pengerusi HARAPAN Perak Datuk Seri Dr Mujahid Yusof memaklumkan Konvensyen HARAPAN akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (IICC), Perak pada 29 Oktober.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada 20 Oktober ini untuk membincangkan dan menentukan tarikh-tarikh penting PRU15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen Ke-14 berkuat kuasa 10 Okt untuk memberi laluan kepada PRU15 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Susulan pengumuman itu, pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan.

– BERNAMA


Pengarang :