Anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor menyerbu sebuah premis yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah premis di Klang pada 8 Jun 2022. Foto KPDNHEP Selangor
AGENDA

KPDNHEP sita 9,000 liter minyak diesel bersubsidi di Balakong

PUTRAJAYA, 12 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyita 9,000 liter minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah premis di Taman Industri Selesa Jaya, Balakong pada 6 Oktober.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata serbuan kira-kira 3 petang itu turut menahan dua lelaki berusia 30-an termasuk seorang warga asing selain menyita sebuah lori, peralatan penyambungan dan beberapa dokumen perniagaan berkaitan yang keseluruhannya dianggar bernilai RM99,350.

“Premis itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada KPDNHEP berhubung urusan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

Sehubungan itu Azman menyarankan orang ramai supaya menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan serta bersubsidi bagi memastikan aktiviti itu dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi e-aduan.kpdnhep.gov.my, WhatsApp di talian 019-279 4317 / 019-848 8000, pusat panggilan 1-800-886-800, e-mel [email protected] dan aplikasi Ez ADU KPDNHEP. – BERNAMA


Pengarang :