Tren elektrik (ETS) milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Foto Facebook KTM Berhad
AGENDANASIONAL

KTMB sedia tren ETS tambahan sempena Maulidur Rasul, Deepavali

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan perkhidmatan tambahan dua unit tren elektrik (ETS) Platinum bagi perjalanan dari stesen Kuala Lumpur Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya sempena sambutan Maulidur Rasul dan perayaan Deepavali.

KTMB dalam kenyataan hari ini menyebut perkhidmatan tambahan itu adalah bagi perjalanan 7, 8, dan 10 Oktober serta 21 hingga 24 Oktober manakala penjualan tiket tren tambahan berkenaan dibuka mulai hari ini.

Menurut KTMB, inisiatif itu diambil bagi memenuhi permintaan penumpang dan memberi kemudahan pengangkutan kepada orang ramai yang akan pulang ke kampung halaman mahupun bercuti di dalam dan luar negara.

“Tren akan berlepas pada 11 pagi dari Padang Besar dan tiba di KL Sentral pada 4.36 petang manakala tren dari KL Sentral akan berlepas pada 5.05 petang dan tiba di Padang Besar pukul 10.34 malam,” menurut kenyataan itu.

Tiket boleh didapati melalui aplikasi KTM Mobile (KITS) atau laman sesawang KTMB. Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB 03-22671200 atau melayari saluran media baharu rasmi KTMB serta laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my untuk maklumat lanjut.

-BERNAMA


Pengarang :