Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) memperkenalkan konsep pengajian secara dalam talian ketika penularan Covid-19. Foto Kuis
AGENDANASIONAL

Kuis naik taraf jadi Universiti Islam Antarabangsa Selangor

SHAH ALAM, 14 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) yang ditubuhkan pada 1995 telah dinaik taraf kepada universiti penuh dengan kini dikenal sebagai Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) bermula hari ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata penaiktarafan itu dibuat selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Seri Abdul Razak Jaafar bagi mempersembahkan watikah rasmi naik taraf Kuis sebagai UIS, di Istana Bukit Kayangan, di sini, semalam.

Beliau berkata naik taraf itu membuktikan UIS adalah sebuah institusi yang setanding dengan institusi pengajian tinggi (IPT) lain dan pihaknya berharap universiti berkenaan akan sentiasa mengekalkan momentum kecemerlangan serta memaksimumkan penghasilan pelajar cemerlang dalam bidang profesional serta hebat di sisi agama Islam.

“UIS perlu sentiasa mengorak langkah komprehensif serta mengambil peluang agar dapat membuktikan pengalaman 27 tahun mengelola pengajian tinggi ini akan merealisasikan kejayaan demi kejayaan apabila menjadi sebuah universiti.

“Mais juga menyeru kepada ibu bapa dan pelajar di luar sana, agar memilih UIS sebagai salah satu institusi keutamaan untuk melanjutkan pengajian yang berteraskan syariah Islamiah di Selangor ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

UIS merupakan sebuah IPT milik penuh Mais yang ditubuhkan secara rasmi pada 15 Februari 1995 di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, menawarkan pelbagai program pengajian di peringkat Asasi, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah serta memenuhi perakuan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) antanya pengajian Islam, pengajian perniagaan, perbankan Islam, pendidikan, komunikasi, dan teknologi maklumat.

– BERNAMA


Pengarang :