Hujan lebat berterusan sejak awal pagi pada 16 Oktober 2022 menyebabkan ombak besar dan beberapa kawasan, jalan raya serta kediaman di enam kampung di lima mukim di Langkawi terjejas akibat banjir kilat. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Laluan Le Tour de Langkawi diubah susulan banjir, tanah runtuh

LANGKAWI, 17 OKT: Perlumbaan peringkat ketujuh saingan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) membabitkan laluan dari Pekan Kuah ke puncak Gunung Raya hari ini diubah berikutan banjir dan tanah runtuh yang melanda pulau peranginan itu.

Menerusi kenyataan pihak penganjur Human Voyage, Presiden Komisar pertandingan Wayne Pomario bersetuju supaya laluan sejauh 90.8km digantikan dengan laluan peringkat lapan membabitkan Loop Langkawi.

“Susulan mesyuarat dengan pihak berkuasa tempatan termasuk Jabatan Kerja Raya, Pejabat Daerah Langkawi dan Jawatankuasa Keselamatan Trafik Daerah Langkawi memutuskan penamat Peringkat 7 di puncak Gunung Raya dibatalkan kerana kebimbangan keselamatan penunggang, pasukan, dan orang ramai.

“Pembatalan itu dibuat berikutan kejadian tanah runtuh yang berlaku di empat lokasi di Gunung Raya,” menurut kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

Semalam, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia mengesahkan antara kawasan dilanda banjir termasuk Kampung Teluk Yu, Kampung Kilim dan Kampung Telaga Ayer Hangat di Ayer Hangat; Kampung Belanga Pecah di Kuah; Bukit Kemboja dan Sungai Melaka di Padang Matsirat dan Empangan Padang Saga di Ulu Melaka.

Laluan asal peringkat ketujuh menampilkan tiga zon pecut di Pelabuhan Telaga, Teluk Yu dan Kuah sebelum menuju ke Zon Pendakian Kategori 3 di Lebuh Langkawi dan Zon Pendakian Kategori 1 ke puncak Gunung Raya. – BERNAMA


Pengarang :