Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (berdiri, tengah) bersama pemenang Hadiah Sastera Selangor 2021 di The Saujana Hotel, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BUDAYARENCANA

Laporan Juri Hadiah Sastera Selangor 2021: Asuh penulis tingkat mutu karya

SEMBILAN orang juri Hadiah Sastera Selangor (HSS) 2021, yang diketuai Dr Faisal Tehrani, diberi kebebasan penuh menilai cerpen, sajak dan esei bagi mencari seorang pemenang utama dan empat penerima hadiah penghargaan. Penilaian meliputi karya undangan daripada Dewan Sastera, jurnal kebudayaan Svara dan halaman media sosial Tukang Puisi. Panel juri bersidang di pejabat Media Selangor pada 19 November 2021.

 

Hadiah Sastera Selangor telah memasuki tahun keenam pada tahun 2021 ini. Kami percaya penganjur sangat berbesar hati melihat perjalanan dan perkembangan hadiah ini, dan kami para juri ikut berbangga dapat ikut serta membangunkan seni sastera di negeri ini, dan Malaysia amnya. 

Meskipun namanya itu Hadiah Sastera Selangor, akan tetapi penganjur memutuskan untuk membuka pertandingan kepada semua rakyat Malaysia dan tidak terhad kepada anak Selangor atau mereka yang menginap di Selangor sahaja. 

Oleh sebab itu, tidaklah menghairankan hadiah ini dijadikan medan oleh pengarang muda untuk berkincah, selain mula diberi perhatian oleh karyawan mapan seluruh negara, untuk sama-sama ikut bersaing mempertahankan gelar dan nama.


1. KATEGORI CERPEN

Dr Faisal Tehrani (ketua)

Sayiidah Mu’izzah Kamarul Shukri

Sufian Abas

Pihak penganjur telah menyerahkan kepada juri sejumlah 46 buah cerpen untuk dibaca, dinilai dan disaring bagi diberikan sebuah hadiah utama, dan empat lagi hadiah penghargaan. Berbeza dari tahun-tahun sebelumnya, terdapat entri yang disumbangkan oleh wadah selain Selangorkini. 

Harus dinyatakan di sini, idea untuk mendatangkan karya daripada platform selain Selangorkini ini adalah daripada Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari sendiri, agar dapat memeriahkan pertandingan, meningkatkan mutu karya, dan membuka lebih banyak ruang untuk lebih ramai pengarang ikut dinilai.

Semua karya yang terbit di Selangorkini berjumlah 32 buah diserahkan untuk penilaian kami, manakala karya daripada wadah lain iaitu daripada Jurnal Svara sebanyak empat buah, dan penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka berjumlah 10 buah telah disaring lebih awal oleh pihak editorial penerbitan tersebut. Harus ditegaskan di sini, pihak penganjur tidak mempunyai kuasa memilih dan tidak ikut campur dengan pilihan yang diputuskan oleh wadah luar Selangorkini ini. Penganjur menyambut apa sahaja yang dipanjangkan. Manakala di pihak kami para juri pula, kami membaca dan menilai karya-karya ini seperti yang telah diketengahkan. Kami membaca berasingan sebelum perbincangan dilakukan.

Rata-rata para juri kecuali dua orang tidak membaca karya ini ketika ia diterbitkan, justeru tidak mengenali karya yang diadili itu milik siapa. Kami berusaha menjadi seobjektif mungkin.

Harus dinyatakan di sini, entri atau karya yang diberikan kepada kami lebih baik kualitinya berbanding tahun sebelum. Namun demikian kami sepakat menyatakan daripada senarai cerpen ini, tidak ada yang benar-benar unggul (outstanding) dan tidak ada yang benar-benar dapat dianggap hasil seni yang ‘novel’ atau baharu.

Oleh sebab terdapat beberapa wadah selain Selangorkini, kami mengambil kira cerpen mini dan juga cerpen konvensional yang ruangnya lebih besar, justeru mempunyai kelebihan untuk memuatkan plot yang lebih rencam, perincian latar dan perwatakan, atau dialog yang lebih menggiurkan. Untuk cerpen mini misalnya, kami memerhatikan ketelitian dan pengimbangan bentuk, kandungan cerita serta mesej. 

Justeru kepadatan menjadi pertimbangan. Manakala untuk cerpen yang lebih panjang, kami akan melihat jikalau ruang itu dibazirkan dengan kelewahan. Justeru terdapat campuran bentuk, jenis dan pendekatan karya yang menarik pada tahun ini.

Dalam menilai karya yang baik kami kekal melihat tema sebagai prinsip utama yang penting, di mana ia harus berhubungan dengan masyarakat. 

Seterusnya kami memilih karya dengan gubahan paling halus yang krafnya tidak memaksakan. Terdapat juga elemen ‘menghiburkan’ yang diambil kira. Kami cuba bersikap adil dengan berusaha memahami simbol yang dihantar pengarang dan memerhatikan aspek bahasa digunakan. 

Kami juga berhati-hati agar karya yang mungkin sulit ini tidak diketepikan hanya kerana keghairahan bereksperimen. Kami sedaya upaya mengambil kira semua aspek yang merangkumi estetika, dan etika. Akhir sekali karya yang baik menurut kaca mata kami adalah karya yang lengkap dan berjaya dibangunkan dengan seimbang mengambil kira rukun cerpen iaitu tema, kausaliti, latar, watak dan perwatakan dan sudut pandang.

Kali ini kami mendapati karya yang diserahkan lebih matang, bersenyawa antara falsafah, bentuk, mesej-wacana dan pembangunan naratif. Namun, sayang sekali ada cerpen yang cukup resipi di atas tetapi terburu-buru ditamatkan. Ada juga yang lengkap serba-serbi tetapi hanya punya unsur ‘fun’ atau kekaguman yang sekejap (cepat dilupakan). Bukan sedikit cerpen yang awalannya begitu menjanjikan tetapi puncak atau peleraiannya bergolekan. Masih banyak karya seperti tahun sebelum, yang terlalu mencuba dan tidak kesampaian, dan ada juga yang sederhana gubahannya tetapi mesejnya benar-benar terfokus.

Kecenderungan menunjuk-nunjuk yang menjelmakan kesan mengada-ada masih tepu. Karya daripada Selangorkini masih memainkan abstraksi dan pendekatan eksperimental yang memerlukan perhatian dan ketekunan yang lebih.

Pengelola ruang cerpen di Selangorkini wajar menggaulkan karya dengan pelbagai gaya dan pendekatan demi meraikan citarasa audien sastera yang berbeza-beza.

Karya dengan isu semasa yang tidak menjengkelkan lekas mendapat perhatian kami, ia harus kontemporari, ada hubungannya dengan dunia dan realiti kita hari ini. Cerpen dengan tema kemiskinan, termasuklah kemiskinan digital demikian menonjol bersekali dengan keresahan akibat pandemik Covid-19 yang melanda. 

Terdapat karya yang membicarakan permainan identiti, dengan kekuatan bahasa yang mencengangkan. Kebanyakan karya menggunakan sudut pandang pertama yang memberi petunjuk terdapat banyak kecamuk dalaman yang perlu dimuntahkan. Cumanya, untuk menjadikan ia sebuah karya sastera, ia haruslah disampaikan dengan ‘seni’. Di sinilah pengalaman, pengetahuan, dan pembacaan luar diperlukan untuk mengkayakan produk yang dihasilkan.

Kami menyenarai panjang hanya lapan buah cerpen untuk dibahaskan daripada semua sudut. Setelah perbincangan mendalam kami sepakat memutuskan untuk memberikan hadiah utama kepada karya ‘Jam Menanggalkan Jarumnya Lalu Menghitung…’.

Cerpen ini memberikan bayangan kemiskinan digital yang melanda ekoran kuncitara dan pandemik Covid-19. Cerpen mini ini menurut kami sangat relevan dengan keadaan semasa, memuatkan tema yang kuat, berimbangan meskipun pendek dan tidak perlu bertele-tele untuk menyampaikan naratifnya. Meskipun berlambangan, ia masih memiliki rujukan dan kerelevenan yang padat untuk pembaca. 

Sastera bukanlah ruang kosong untuk melampiaskan bentuk tanpa mengambil kira mereka yang akan menikmatinya. Kreativiti pengarang menyerlah dengan menggunakan permainan masa yang terhenti ekoran kemiskinan digital ini. 

Salah satu aspek yang juga diambil kira ialah pengarang terkesan mengambil berat tahap suntingan karya ini, di mana, dapat dirasakan ia bukan karya yang ditulis dalam masa singkat, untuk menuangkan keluhan dan amarah karyawan.

Empat karya lain disenaraipendek untuk diberikan hadiah penghargaan, tidak diputuskan secara sepakat tetapi secara undian 2-1. Cerpen-cerpen tersebut adalah:

  • Cerpen 40: Autobiografi Amoeba
  • Cerpen 36: Puntianak
  • Cerpen 15: Vektor Seorang Viktor
  • Cerpen 04: Lelaki Yang Hilang Dari Rumah

Cerpen Puntianak adalah sebuah karya genre horror dengan percikan politik. Pengarang memilih latar tempat Borneo dan latar masa abad ke-19, dengan watak-watak di era penjajahan tampil begitu dominan. Terselit episod tempur dan ‘hantu’ yang dijalinkan dengan baik. Pengarang juga secara halus membawa mesej pasca kolonialisme. 

Penggunaan sudut pandang pertama mengisyaratkan penulis ini berusaha mengeksploitasi strategi penceritaan, yang mana membolehkan dirinya mengawal naratif supaya tidak melimpah lewah, dan tidak pula singkat-senteng tidak kesampaian. Pemilihan kosa kata dalam karya ini juga segar.

Autobiografi Amoeba adalah karya yang agak absurd, dengan usaha menerokai kepelbagaian dan kemungkinan yang boleh ditawarkan oleh genre autobiografi. Karya ini seimbang penggunaan bahasanya dan memerlukan tumpuan lebih untuk memahami dan menafsir karya ini. Cerpen ini mengisahkan proses yang menjadi jambatan kepada sesebuah tulisan.

Hal yang sama dapat dilihat pada karya Vektor Seorang Viktor yang mendorong pembacaan berkali-kali untuk memahami maksud yang ingin dihantarkan. Akan tetapi, meskipun terdapat kecenderungan pengarang untuk mempersetankan maksud dalam karyanya, masih terdapat usaha mengincah naratif dengan disiplin ilmu lain yang menjadikan karya ini penuh misteri dan menggiurkan. 

Ia jatuh dalam kategori fun yang disentuh lebih awal. Pembaca perlu benar-benar mengambil segenap perhatian untuk merungkaikan kod-kod yang ingin diutuskan oleh karyawan.

Cerpen Lelaki Yang Hilang Dari Rumah juga kelihatannya membawa pendekatan seperti dua karya di atas. Seperti karya lain dalam kategori penghargaan, terdapat elemen teka-teki yang memerlukan pengamatan untuk khalayak. Ia menonjolkan keresahan watak saya.

Sebuah cerpen yang agak baik ialah Panggil Aku Bulan. Sayang sekali cerpen ini tidak dapat kami berikan hadiah, namun wajar disebut dalam laporan ini. Pengarang menghantar mesej kepedulian merah, atau kemiskinan haid yang merupakan sebuah isu penting. Penggunaan lambang yang baik dengan rujukan budaya tertentu membuatkan kami terpana.

Kami ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang, dan untuk yang lain juga kerana telah berkarya. Sesungguhnya tidak ada satu parameter yang benar untuk memenangkan sesebuah karya kreatif yang tentu saja sukar diukur secara objektif.

 2. KATEGORI ESEI 

Wan Hamidi Hamid (ketua)

Dr Alina Abdullah

Al-Mustaqeem Mahmod Radhi

Berikut adalah lima kriteria utama yang ditetapkan panel sebagai asas penilaian karya dalam kategori esei berdasarkan urutan keutamaan, pertama; isi/kefahaman; kedua, hujah/idea/pemikiran kritis; ketiga, gaya/kreativiti; keempat, struktur dan; kelima, sumber/penyelidikan.

Kriteria tersebut disusun dengan mengambil kira kedudukan Hadiah Sastera Selangor sebagai sebuah acara seni, sastera, dan budaya yang menitikberatkan kreativiti berbanding nilai akademik. Sehubungan itu, gaya/kreativiti memainkan peranan penting dalam penilaian esei tetapi tanpa meminggirkan isu/kefahaman dan hujah/idea/pemikiran kritis sebagai perkara asas yang utama dalam menentukan mutu esei. Pada masa sama, walaupun struktur dan sumber/penyelidikan penting untuk sesebuah esei, dalam konteks Hadiah Sastera Selangor ia tidak menjadi penilaian utama – namun tetap memainkan peranan penting dalam penilaian panel.

Panel telah menerima 37 buah esei yang bebas tajuk serta topiknya. Hampir kesemuanya padat dengan pelbagai gaya dan struktur; ada yang pendek (tidak sampai 1,000 perkataan) dan ada yang panjang (hampir 6,000 perkataan). Jumlah perkataan tidak termasuk dalam kriteria penilaian dan panel berpendapat karya yang memenuhi kesemua kriteria tanpa mengira jumlah perkataannya akan dipilih sebagai yang terbaik.

Kesemua penyertaan diberikan kepada panel tanpa disertakan nama atau biodata penulis bagi memastikan keadilan terhadap semua penyertaan. Bererti, panel tidak dapat mengetahui sama ada seseorang penulis itu menghantar lebih daripada satu esei. Sehubungan itu, panel mencadangkan jika ada lebih daripada satu esei daripada seorang penulis yang sama yang layak memenangi hadiah utama dan/atau sagu hati, karya-karya berkenaan patut diiktiraf atas asas:

  • Panel sama sekali tidak mengetahui siapa penulisnya
  • Panel hanya menilai karya semata-mata
  • Jika sesebuah karya itu adalah baik, maka ia tetap baik – tidak adil jika karya kedua terpaksa diketepikan untuk memberi ruang kepada karya yang kurang baik semata-mata kerana ada dua, atau lebih, karya yang baik ditulis oleh orang yang sama.

Sebelum penentuan karya terbaik dibuat, bagi saringan pertama, panel telah menyenaraipendekkan 15 daripada 37 esei yang kami anggap menetapi sekurang-kurangnya tiga daripada lima kriteria penilaian, walaupun ada yang mempunyai kelemahan tertentu. Karya yang disenarai pendek secara rawak itu ialah:

  • Esei 07: Mendepani Bala Tentera Malam
  • Esei 09: Raskat Yang Menolak Sunyi
  • Esei 10: Selera Kosa Kata
  • Esei 11: Kritikan Sastera Melayu Meniti Di Atas Titian Lesu
  • Esei 12: Kesamaran Dalam Fiksyen Dan Realiti
  • Esei 13: Wabak Mediokriti Yang Menjangkiti Penulis
  • Esei 15: Satira Selak Pintu Ironi
  • Esei 17: Stamina 80 Tahun Goenawan
  • Esei 18: Kosmopolitanisme Yang Hilang Dalam Kebudayaan Sastera
  • Esei 20: ‘Waknat’ dan ‘Lokdaun’: Kisah Penyebaran Kosa Kata
  • Esei 21: Kedangkalan Penggiat Sastera Veteran: Kritik Terhadap Forum Sastera
  • Esei 26: Merenung Gambar Dalam Puisi
  • Esei 30: Seperti Mendengar Cerita Bapa
  • Esei 33: Budaya Onani Pengulas Filem
  • Esei 35:  Karya Feminis Tak Perlu Marah-marah

Daripada 15 karya ini, panel membuat saringan kedua dengan menyenaraipendekkan tujuh karya yang dianggap menepati sekurang-kurangnya empat daripada lima kriteria penilaian. Karya yang disenarai pendek secara rawak itu ialah:

  • Esei 10: Selera Kosa Kata
  • Esei 12: Kesamaran Dalam Fiksyen Dan Realiti
  • Esei 13: Wabak Mediokriti Yang Menjangkiti Penulis
  • Esei 15: Satira Selak Pintu Ironi
  • Esei 18: Kosmopolitanisme Yang Hilang Dalam Kebudayaan Sastera
  • Esei 26: Merenung Gambar Dalam Puisi
  • Esei 33: Budaya Onani Pengulas Filem

Daripada tujuh karya ini pula, panel membuat saringan ketiga dan terakhir untuk memilih satu pemenang hadiah utama dan empat hadiah sagu hati. Sebagai keputusan muktamad, untuk pemenang hadiah sagu hati, panel tidak lagi menyenaraikannya secara rawak tetapi mengikut urutan mutu karya berasaskan kriteria penilaian.

Empat karya pemenang sagu hati ialah (menurut urutan kriteria pemilihan)

  • Esei 33: Budaya Onani Pengulas Filem
  • Esei 10: Selera Kosa Kata
  • Esei 15: Satira Selak Pintu Ironi
  • Esei 18: Kosmopolitanisme Yang Hilang Dalam Kebudayaan Sastera

Manakala esei yang menepati kesemua kriteria penilaian adalah ‘Esei 26: Merenung Gambar Dalam Puisi’.

Panel juga membuat keputusan untuk memberikan penghargaan juri (bukan hadiah) kepada sebuah karya yang disenaraipendekkan dalam saringan pertama, iaitu:

  • Esei 21: Kedangkalan Penggiat Sastera Veteran: Kritik Terhadap Forum Sastera.

Alasan serta sebab penghargaan ini dinyatakan dalam Catatan Tentang Karya di bawah ini.

1. Kami mendapati hampir kesemua 37 karya mempunyai struktur dan gaya/kreativiti, namun lemah dalam dua kriteria utama, iaitu isi/kefahaman dan hujah/idea/pemikiran kritis. Malah, pemilihan tajuk, walaupun bebas, gagal dimanfaatkan dengan baik dari segi “angle” yang menjadi hujahan. Dalam pada itu juga, walaupun ada gaya/kreativiti, masih terdapat esei yang terikat dengan gaya akademik persekolahan dan/atau kolej, yakni tidak sesuai untuk kreativiti HSS.

2. Malah, dalam kebanyakan karya, kriteria sumber/penyelidikan adalah antara yang paling lemah. Beberapa karya mengandungi unsur ini, namun ia ditampilkan dengan cara yang kaku tanpa kreativiti dan gaya, malah isi dan hujah pula tidak membawa pembaharuan. Namun, sebagai kriteria yang kelima penting, kami akui bahawa sumber/penyelidikan tidak menjejaskan karya-karya yang telah menepati empat kriteria yang lebih utama, khususnya bagi saringan kedua.

Untuk ringkasan saringan pertama.

  •  Esei 07: Mendepani Bala Tentera Malam – Struktur yang baik tetapi hujah tidak cukup kuat, ada nada “name dropping” tanpa penjelasan lanjut
  • Esei 09: Raskat Yang Menolak Sunyi – Bersifat terlalu memuji tanpa hujah kritis walaupun kreativiti dan stukturnya baik
  • Esei 10: Selera Kosa Kata – Mudah difahami dan bersifat kontemporari walaupun hujahnya boleh diperkukuhkan lagi
  • Esei 11: Kritikan Sastera Melayu Meniti Di Atas Titian Lesu -Topik yang baik tetapi dengan hujah yang mengulangi hujah lama serta terlalu banyak “name dropping” serta didaktik
  • Esei 12: Kesamaran Dalam Fiksyen Dan Realiti – Topik yang baik tetapi dicacatkan oleh penggunaan terjemahan bahasa Inggeris untuk karya asal dalam bahasa Indonesia – menimbulkan persoalan tentang sumber serta terjemahan
  • Esei 13: Wabak Mediokriti Yang Menjangkiti Penulis – Intro yang menggusarkan hati seperti esei persekolahan walaupun hujahnya mempunyai kekuatan tersendiri, namun kurang kemampuan mempertahankan hujah
  • Esei 15: Satira Selak Pintu Ironi – Topik yang baik walaupun hujahnya bersifat didaktik
  • Esei 17: Stamina 80 Tahun Goenawan – Bersifat hagiografi tanpa hujah kritis
  • Esei 18: Kosmopolitanisme Yang Hilang Dalam Kebudayaan Sastera – Topik yang sangat baik tetapi gaya dan kreativitinya lemah
  • Esei 20: ‘Waknat’ dan ‘Lokdaun’: Kisah Penyebaran Kosa Kata – Ada persamaan dengan Esei 10 namun hujahnya tidak cukup kuat walaupun gaya penulisannya baik
  • Esei 21: Kedangkalan Penggiat Sastera Veteran: Kritik Terhadap Forum Sastera – Topik yang sangat menarik dengan hujah yang kukuh tetapi dengan intro yang mengecewakan serta panjang meleret; satu peluang keemasan yang dilepaskan
  • Esei 26: Merenung Gambar Dalam Puisi – Terbaik. Menepati kesemua kriteria penilaian
  • Esei 30: Seperti Mendengar Cerita Bapa – Gaya penulisan yang baik tetapi terlalu lurus sebagai ulasan buku, hampir tiada hujah kritis
  • Esei 33: Budaya Onani Pengulas Filem – Hujah yang keras dengan gaya penulisan yang segar namun terlalu “macho” (male gaze) dalam penyampaiannya
  • Esei 35: Karya Feminis Tak Perlu Marah-marah – Topik yang sangat baik tetapi seperti Esei 30 ia lebih bersifat lurus dalam ulasan buku tanpa banyak hujah

Pada saringan kedua, setelah meneliti esei-esei yang terpilih dalam saringan pertama, panel memilih karya berikut untuk senarai pendek seterusnya:

  • Esei 10: Selera Kosa Kata
  • Esei 12: Kesamaran Dalam Fiksyen Dan Realiti
  • Esei 13: Wabak Mediokriti Yang Menjangkiti Penulis
  • Esei 15: Satira Selak Pintu Ironi
  • Esei 18: Kosmopolitanisme Yang Hilang Dalam Kebudayaan Sastera
  • Esei 26: Merenung Gambar Dalam Puisi
  • Esei 33: Budaya Onani Pengulas Filem

Akhir sekali di saringan ketiga dan terakhir, penilaian pada tahap ini dilakukan dengan tambahan pandangan untuk setiap esei yang dipilih oleh panel sebagai pemenang sagu hati dan hadiah utama.

  • Esei 33: Budaya Onani Pengulas Filem – Walaupun keras dan macho sifatnya, ia menampilkan kelainan dalam bentuk keberanian mengkritik. Ia bukan kutukan, sebaliknya mempunyai asas isi/kefahaman dan hujah/idea/pemikiran kritis. Walaupun gaya/kreativitinya biasa sahaja, strukturnya ada dan sedikit-sebanyak sumber/penyelidikan disediakan
  •  Esei 10: Selera Kosa Kata – Antara kata-kata popular masa kini ialah “less is more”; inilah yang menjadi kekuatan esei ini yang tidak cuba terlalu menunjuk pandai. Kesantaiannya menarik minat membaca walaupun hujahnya masih boleh diperkukuhkan lagi
  • Esei 15: Satira Selak Pintu Ironi – Topiknya penting kerana ia merupakan satu keadaan yang membawa pertelingkahan di antara kreativiti dan kuasa, satu hal yang akan sentiasa bersama kita buat selama-lama. Walaupun hujahnya bersifat didaktik, ia meluncur masuk ke ruang minda dan hati yang jarang disentuh – mungkin kerana dunia penulisan di negara kita masih lembut dengan penguasa
  • Esei 18: Kosmopolitanisme Yang Hilang Dalam Kebudayaan Sastera – Topik yang menarik tentang kepelbagaian kaum, satu hal yang jarang diketengahkan melainkan yang bersifat tokenisme, tetapi esei ini sedikit kurang dari segi gaya dan kreativiti penulisannya
  • Esei 26: Merenung Gambar Dalam Puisi – Dengan hanya 800 perkataan, esei ini menepati kesemua Kriteria Penilaian. Esei ini memetik puisi Li Bai di zaman Dinasti Tang China kepada Karim Mohd, dan sebelum itu melalui Pablo Neruda, T. Alias Taib dan kembali kepada Wang Changling serta Matsuo Basho, tetapi tanpa terjebak dalam “name dropping” kerana setiap satu nama yang disebut dijelaskan dengan sebaris karya masing-masing. Hujahnya pula menambat minda dan hati. Bertepatan dengan tajuknya, esei ini membantu pembacanya melihat gambar dalam puisi

Panel memilih ‘Esei 21: Kedangkalan Penggiat Sastera Veteran: Kritik Terhadap Forum Sastera’ untuk disebut sebagai penerima penghargaan khas juri kerana topiknya yang berani serta jarang dibangkitkan dalam dunia sastera dan penulisan di Malaysia, iaitu isu gender, khususnya sikap memandang rendah kepada penulis wanita serta karya penulis wanita yang turut melibatkan wanita sendiri yang seolah-olah menyokong diskriminasi, secara tersurat atau tersirat, terhadap wanita.

Seperti dijelaskan dalam ulasan panel di atas: “Topik yang sangat menarik dengan hujah yang kukuh tetapi dengan intro yang mengecewakan serta panjang meleret; satu peluang keemasan yang dilepaskan”.

Maksud panel di sini ialah kumpulan penulis ini (daripada penggunaan perkataan “kami”, mungkin lebih daripada seorang penulis) boleh mengemukakan hujah dengan jelas, padat dan pendek tanpa terlalu melalut. Jika ada suntingan yang baik, misalnya dipadatkan kepada tidak lebih 1,500 perkataan, atau jika paling panjang sekalipun, 2,000 perkataan, ia boleh menjadi esei terbaik. Sayangnya, pengarang esei memilih untuk mendepankan emosi sehingga ia menjadi terlalu panjang untuk mengekalkan empati pembaca.

Seperkara lagi, bahagian awal esei dan pembukaannya berbunyi seperti sebuah laporan rasmi yang dengan mudah boleh mematikan minat pembaca esei. Seperti apa jua bentuk penulisan, bahagian pembukaan biasanya menjadi penentu hidup mati sesebuah karya.

Namun, atas kesanggupan, kesungguhan dan keberanian mendedahkan kudis yang ada dalam dunia penulisan bahasa Melayu di Malaysia, panel merasa perlu menyebut esei ini sebagai penerima Penghargaan Juri.

Secara umum, esei-esei yang dikemukakan untuk dinilai bagi Hadiah Sastera Selangor 2021 memperlihatkan peningkatan mutu yang amat memberangsangkan berbanding yang pernah dinilai dalam HSS sepanjang beberapa tahun lalu. Karya-karya pada tahun ini memperlihatkan cakupan atau jangkauan pembacaan dan perbincangan yang agak luas dan begitu juga pemilihan topik.

Panel percaya para penulis yang terbabit pada tahun ini memiliki potensi untuk berkembang sebagai penulis esei yang mantap. Melihat kepada esei-esei yang dikemukakan pada tahun ini, tujuan itu boleh dicapai terutama menerusi empat proses:

1. Perbincangan dan perbahasan draf karya bersama rakan penulis dan juga penulis lebih berpengalaman sebelum karya dianggap siap untuk dikirim ke mana-mana media.

2. Penyuntingan yang lebih kemas di pihak media penyiar karya, termasuk kesanggupan editor di media untuk memberikan pandangan kritis terhadap sesebuah karya yang dikirim dan memberi masa untuk pengarang melakukan pembaikan.

3. Pembacaan lebih meluas, termasuk membaca esei-esei terbaik dalam pelbagai bahasa.

4. Memeram dan mengasah esei berkali-kali. Proses mirip pemeraman sajak ini wajar dilakukan terutama kerana ia melibatkan “esei kreatif.”

Sebagai penutup, panel ingin sekali lagi menegaskan bahawa semua esei yang dinilai ini adalah berdasarkan karya tersebut semata-mata tanpa mengetahui siapa penulisnya atau di mana ia diterbitkan dan bahawa penilaian telah dilakukan seadil mungkin.

3. KATEGORI PUISI

Ainunl Muaiyanah Sulaiman (ketua)

Jimadie Shah Othman

Mohd Rozlan Mohd Noor

Tahun ini, juri menerima 71 buah sajak untuk penilaian HSS 2021. Terdapat peningkatan jumlah sajak yang dinilai kerana penganjur telah membuka ruang kerjasama dengan beberapa rumah penerbitan lain seperti Svara, Tukang Puisi dan Dewan Bahasa & Pustaka. Juri mengesan kerencaman yang ketara daripada pemilihan tema, baris puisi yang lebih panjang, keragaman yang mengujakan. Hal ini memberikan warna dan membuka ruang perbincangan yang tuntas dalam kalangan para juri.

Pada peringkat saringan, ketiga-ketiga juri telah mengemukakan senarai pilihan sajak masing-masing. Setiap juri telah menyisih dan memilih dalam 10-15 buah puisi setiap seorang yang dirasakan layak untuk ke peringkat separa akhir. Setiap sajak yang menerima sekurang-kurangnya dua (2) undi pilihan daripada juri akan dibawa ke peringkat akhir, sebaliknya sajak yang menerima satu (1) undi pilihan akan dibincangkan dan dinilai dalam sesi perbincangan dan perdebatan baris demi baris antara pihak juri.

Sebanyak 13 sajak dibawa melepasi peringkat akhir dan dibincangkan semula untuk dipilih sebagai pemenang utama dan hadiah penghargaan. Juri menilai bahawa secara keseluruhannya, sajak yang diterima menawarkan kepelbagaian tema dan sudut pandang penyair. Tema-tema seputar kesunyian dan kesendirian menjadi pilihan ketara penyajak yang mungkin tersisa daripada musim pandemik. Penyajak juga cenderung mencipta puitika seni (ars poetica) untuk mengungkap pengalaman pensajakan dan renungan tentang dunia puisinya. Juri juga menemui sajak kerohanian yang menjanjikan dan keluar daripada kebiasaan.

Juri juga mengesan beberapa puisi yang menanggalkan baris-baris puitis dan memberi fokus kepada idea dan gagasan serta mencipta pengucapan yang baharu, pemikiran kental, bersahaja, langsung tetapi mengesan. Meskipun kedengaran janggal tetapi pembaharuan yang berani begini sentiasa dinantikan dan menggugah.

Ada sajak yang padat dengan emosi semata-mata tetapi tidak diimbangkan dengan sandingan keutuhan pengucapan dan bahasa. Ia mencipta letusan perasaan tetapi ironinya terapung pada selapis makna sahaja.

Juri berpendapat, kekuatan sajak yang unggul hadir dalam pakej kekuatan pengucapan, renungan yang tajam dan jernih, penciptaan ungkapan atau larik yang memukau serta pengalaman yang kental.

Penulis juga kerap menggunakan citra alam yang sinonim dengan panorama sajak Malaysia seperti laut, angin, langit dan pohon. Tetapi kurang percubaan menghadirkan sudut pandang berbeza, emosi, pembaharuan pengucapan. Ia seolah-olah hanya salinan baris dan pinjaman emosi daripada penyajak terdahulu tanpa kemasukan suara penulis sendiri.

Penulis juga berusaha mengungkapkan idea-idea besar tetapi tidak kesampaian kerana tidak cekap memilih dan menyaring kosa kata dengan baik sehingga kedengaran canggung. Kebanyakannya hanya berjaya menyusun kata tetapi tidak menyusun idea.

Juri juga mengesan kelemahan ketara beberapa buah sajak pada peringkat akhir terletak kepada penyusunan baris dan stamina bahasa sajak untuk menarik pembaca sehingga ke titik akhir.

Setelah pertimbangan teliti, juri telah memilih 1 hadiah utama dan 4 penghargaan

Utama

  • Tuhan Dari Daerah Sunyi

Penghargaan

  • Di Bukit Golgota: Seorang Juruselamat Berganti Darah Dengan Dosa
  • Hujan Telah Henti Sejak Lama
  • Menikmati Katarsis
  • Dalam Lelap Binari

Utama

Tuhan Dari Daerah Sunyi

Sajak ini lengkap dengan pengucapan bahasa mengesan dan membekas tentang dunia perempuan, ibu dan isteri. Penyajak mengungkapkan gelisah dan gejolak rasa ibu muda yang menanti kelahiran anaknya dalam dunia yang kacau. Sajak ini meneroka daerah pengalaman yang jarang diungkapkan dalam landskap sajak Malaysia. Dalam setiap stanza, sajak ini seimbang dari segi komposisi, tenaga dan konsistensi. Penyajak berjaya mengawal momentum pengucapan sajaknya dari stanza pertama sehingga stanza ketujuh dengan konsisten. Pelambangan yang berani, berbobot dan melangkah keluar daripada kebiasaan. Pembaca dapat merasai pengalaman keibuan yang utuh melalui sandingan ungkapan segar seperti malam pincang seakan ayam bersabung dan di dadaku seorang anak berlari / cinta menjelmaku seekor serigala dan menyihirku menjadi nabi.

Penghargaan

Di Bukit Golgota: Seorang Juruselamat Berganti Darah Dengan Dosa

Sajak ini mengungkapkan renungan kerohanian daripada kisah Jesus disalib. Sisi yang jarang diteroka dan pengalaman yang tulus ini memberikan warna yang kuat dalam puisi ini

Hujan Telah Henti Sejak Lama

Dalam sajak ini, penulis berjaya mencipta kata-kata yang ekonomik, tepat dan padat dalam mencipta adegan demi adegan dan memberikan momen yang monumental. Setiap imej yang dipilih cermat dalam ruang kamar terasa hidup dan menghidupkan suasana resah dan melepaskan. Bermula daripada kalendar menggelepar liar sehingga sekerdil-kerdil semut mengusung keranda, penulis memacu dan memaku imej dalam potret kata.

Menikmati Katarsis

Menikmati katarsis merupakan sebuah puitika seni sesudah penyajak menikmati pembacaan sebuah buku sajak. Penyajak membina pengucapan yang langsung tetapi mengesan. Ada percubaan mencipta kepuitisan daripada kata-kata klise. Sajak ini membina ruang kelegaan yang tiada di luar fizikal dengan penyataan realitis.

Dalam Lelap Binari

Dalam lelap binari juga sebuah puitika seni yang puitis. Penulis mencipta baris-baris memikat seperti lengking biru kembar sabda yang merdu / kata-kata telah miring ke barat.

 

4. RUMUSAN

Kami panel juri ingin memberikan kredit kepada pihak Selangorkini, Kerajaan Negeri Selangor, pengelola, para editor yang bertungkus-lumus membangunkan karya sastera, fiksi dan non fiksi, tanpa sebarang prejudis. Kami juga bersepakat menganjurkan pihak Selangorkini untuk terus mengasuh pengarang-pengarang sedia ada dengan program berbentuk bengkel agar kualiti kerja para sasterawan masa hadapan ini semakin membaik.

Semoga usaha berterusan ini akan terus diberi perhatian dan sokongan.


Pengarang :