Anggota Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) MPKL menjalani latihan amal dan simulasi bencana di pesisir lombong Kampung Olak Lempit, Kuala Langat pada 26 Oktober 2022. Foto MPKL
AGENSISELANGOR

Latihan amal simulasi bah Kuala Langat uji radio satelit, kemudahan bantu mangsa

Oleh NUR AISHAH MOHD AMIN

KUALA LANGAT, 26 OKT: Latihan amal dan simulasi pengurusan bencana daerah Kuala Langat memberi tumpuan kepada keberkesanan penggunaan radio setelit bagi menghadapi banjir susulan Monsun Timur Laut.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kuala Langat berkata keberkesanan penggunaan rangkaian radio bersepadu kerajaan (GIRN) penting bagi melancarkan operasi menyelamat mangsa.

“Aspek utama yang ditekankan pada latihan amal dan simulasi ini adalah komunikasi menggunakan alat GIRN. Menerusi latih amal hari ini kami dapati alat berkenaan berkesan dalam menyampaikan maklumat.

“Sebelum ini pasukan penyelamat menghadapi masalah komunikasi terputus hubungan kerana talian telefon tiada signal ketika bencana. Susulan itu, pasukan penyelamat menggunakan radio yang dipancar terus dari satelit bagi membolehkan setiap agensi dapat berhubung,” kata Muhammad Heeza Hassan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Langat Muhammad Heeza Hassan (kiri) mendengar penerangan daripada Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh ketika latihan amal dan simulasi pengurusan bah di pesisir lombong Kampung Olak Lempit, Kuala Langat pada 26 Oktober 2022 . Foto Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Langat

Terdahulu, beliau meninjau latihan amal simulasi yang membabitkan 100 anggota dari pelbagai agensi di pesisir lombong Kampung Olak Lempit di sini.

Agensi terlibat termasuklah Majlis Perbandaran Kuala Langat, Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Penerangan dan Air Selangor.

Menerusi program 8 pagi hingga 12 tengah hari, Muhammad Heeza turut memeriksa kesiapsiagaan agensi terlibat dalam pengendalian bot dan operasi menyelamat di air.

“Latih amal dan simulasi pengendalian bot dan operasi menyelamat di air juga diadakan bagi memberi pendedahan dan latihan berterusan kepada pasukan penyelamat serta memastikan semua aset sedia berada dalam keadaan baik,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau kelengkapan mangsa banjir sebagai persediaan menghadapi bencana selepas menghadiri program Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 29 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program Latih Amal dan Simulasi Bencana Selangor dianjurkan bagi mendedahkan agensi terlibat kepada tanggungjawab menggerakkan operasi mencari dan menyelamat, pembukaan bilik gerakan dan bantuan.

Pada 28 September, sebanyak 67 agensi membabitkan 343 peserta terlibat dalam program dua hari di Dewan Jubli Perak, Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam.

Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Muhamad Shah Osmin berkata inisiatif itu bertujuan memastikan semua agensi terlibat bersiap sedia dari aspek perkhidmatan, peralatan dan aset bagi menghadapi apa jua bencana.


Pengarang :