Lebih 1,500 atlet dari 52 negara akan berentap membuktikan kekuatan dan kecergasan masing-masing pada Kejohanan Ironman Malaysia dan Ironman 70.3 Langkawi 2022. Foto Facebook IRONMAN Malaysia
AGENDASUKANKINI

Lebih 1,500 atlet dari 52 negara sertai kejohanan Ironman Malaysia

ALOR SETAR, 31 OKT: Lebih 1,500 atlet dari 52 negara akan berentap membuktikan kekuatan dan kecergasan masing-masing pada Kejohanan Ironman Malaysia dan Ironman 70.3 Langkawi 2022 pada Sabtu ini.

Jumlah penyertaan pada tahun ini menurun berbanding penyertaan 2,500 atlet dari 70 negara pada tahun 2019 selepas ia tidak dapat dilaksanakan selama dua tahun berikutan pandemik COVID-19.

Malaysia selaku tuan rumah menghantar peserta teramai iaitu 631 peserta diikuti Jepun (120), Singapura (91) dan beberapa negara lain antaranya Filipina, Thailand, India dan Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi Zainudin Kadir berkata penganjuran Ironman Malaysia tahun ini mampu menjana pendapatan berjumlah RM55 juta bagi Pulau Legenda itu.

“Edisi sebelum pandemik telah berjaya menjana pendapatan berjumlah RM50 juta dan saya yakin angka itu dapat diatasi pada tahun ini. Dijangka seramai 30,000 hingga 40,000 orang akan berkunjung ke Langkawi sempena acara berkenaan.

Ia sudah pastinya akan meransang industri pelancongan tempatan secara menyeluruh dan kemunculan acara Ironman di Langkawi ini memang tepat pada masanya memandangkan 90 peratus daripada perolehan di pulau ini bergantung kepada pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi kategori Ironman Malaysia, ia membabitkan tiga disiplin iaitu berenang sejauh 3.8 km, berbasikal 180 km dan berlari sejauh 42.2 km manakala bagi Ironman 70.3 atlet akan berenang sejauh 1.9 km, berbasikal 90 km dan berlari sejauh 21.1 km. – BERNAMA


Pengarang :