Orang ramai mendapatkan pakaian baharu dan terpakai sempena program Bazar Pakaian Percuma di pekarangan Poliklinik Grace, Taman Sentosa Klang, Klang pada 9 Oktober 2022. Foto Sangetha Jayakumar
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 2,000 serbu bazar pakaian percuma, inisiatif ringan beban penduduk

KLANG, 9 OKT: Lebih 2,000 penduduk dari serata negeri tidak melepaskan peluang mendapatkan pakaian percuma menerusi program anjuran Persatuan Wanita Nadi Selangor (Wanis) di Taman Sentosa di sini sejak semalam hingga hari ini.

Pengerusinya Sangetha Jayakumar berkata program Bazar Pakaian Percuma dengan kerjasama Persatuan Kebajikan dan Perpaduan Kota Raja menawarkan pelbagai pakaian baharu serta terpakai khusus untuk lelaki, wanita serta kanak-kanak.

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan meringankan beban penduduk khususnya kaum Hindu yang berdepan masalah kewangan untuk membuat persiapan menyambut Deepavali tidak lama lagi.

“Hebahan berhubung program ini dibuat melalui TikTok sejak bulan lepas dan jumlah tontonan begitu ramai. Saya tidak sangka permintaan sangat tinggi daripada masyarakat sekitar Klang termasuk dari kawasan lain.

“Ini menggambarkan kemiskinan bandar sebenar kerana mereka bukan sahaja tidak mampu beli makanan tetapi pakaian terutama yang mempunyai anak ramai. Diharap program ini sedikit sebanyak membantu golongan terbabit,” katanya hari ini.

Ditemui di bazar berkenaan, beliau berkata hampir 5,000 pakaian berjaya diedar kepada pengunjung dari 2 petang hingga 8 malam semalam, selain menyasarkan jumlah sama hari ini.

“Semua pakaian ini diperoleh hasil sumbangan orang ramai dan mereka menghantar pakaian yang ingin disumbang ke rumah-rumah sukarelawan sebelum dikumpul di sini.

“Bagaimanapun sepanjang program berlangsung, ada juga orang awam yang datang terus ke lokasi untuk menyumbang. Saya berterima kasih dan menghargai sokongan semua pihak terhadap program ini,” katanya.

 


Pengarang :