Suasana di sekitar Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 4 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 3,000 sijil halal dimohon syarikat bukan bumiputera, majoriti sektor makanan

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Lebih 3,000 permohonan sijil halal oleh syarikat bukan bumiputera direkodkan Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sejak Januari hingga akhir bulan lalu.

Penolong Pengarah Kanan Jais Ahmad Solihin Maryakon berkata jumlah itu meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu dengan majoriti permohonan membabitkan pengusaha produk dan premis makanan.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor Ahmad Solihin Maryakon memberi taklimat sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Memang setiap tahun permohonan meningkat sekali gus membuktikan orang ramai semakin sedar keperluan memperoleh sijil halal.

“Jika dilihat permohonan pengusaha produk makanan paling ramai mohon. Mungkin masyarakat lihat ia lebih dekat dengan halal walaupun ada lagi bidang lain memerlukan status halal seperti farmaseutikal, logistik dan kosmetik,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengendalikan program bicara halal sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Ahmad Solihin menjangkakan hampir 4,000 permohonan dicatat menjelang akhir tahun ini mengambil kira sektor ekonomi yang kembali rancak dalam fasa pascapandemik Covid-19.

Pada 29 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar berkata pemahaman berkaitan halal penting bagi membolehkan pengusaha mendapatkan pensijilan yang boleh mengembangkan perniagaan masing-masing.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan industri halal merangkumi dua perkara iaitu membabitkan persoalan hukum dan pelaksanaan sistem serta ekosistem yang boleh dikembangkan dalam perniagaan.

 


Pengarang :