Air Selangor membuat hebahan menyeru penduduk negeri ini memohon Skim Air Darul Ehsan bagi mendapatkan air percuma. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Lebih 300,000 keluarga nikmati air percuma 20 meter padu sebulan

SABAK BERNAM, 15 OKT: Lebih 300,000 keluarga menerima dan menikmati skim air percuma 20 meter padu setiap bulan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif Skim Air Darul Ehsan itu diutamakan kepada golongan keluarga berpendapatan rendah.

“Ramai anggap kita sudah buang bantuan ini. Kita tak buang malah berikan kepada yang benar-benar perlu.

“Had kelayakan juga diubah daripada pendapatan bawah RM4,000 kepada RM5,000. Jadi kepada mereka yang layak, tolong daftar dengan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd,” katanya berucap merasmikan Jelajah Selangor Penyayang daerah Sabak Bernam hari ini.

Pada program ambang merdeka, Amirudin berkata kira-kira 100,000 lagi akaun pengguna bakal menikmati skim berkenaan dengan kos lebih RM30 juta dibayar sepenuhnya Kerajaan Selangor.

Pendaftaran masih dibuka kepada penduduk Selangor sehingga 31 Disember 2024 dan syarat kelayakan meliputi pemohon mestilah warganegara Malaysia, premis kediaman jenis meter individu dan hanya untuk satu akaun sahaja.

Sementara itu Amirudin berkata seramai 14,000 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) menerima manfaat Iltizam Pendidikan Fardhu Ain tahun ini.

“Jumlah melibatkan pelajar dari 296 institusi Kelas al-Quran dan Fardu Ain Integrasi (Kafa-i) seluruh negeri,” katanya.

Amirudin ketika membentangkan Belanjawan Selangor tahun ini mengumumkan pemberian subsidi RM30 sebulan kepada murid daripada keluarga B40 sebagai galakan kepada masyarakat menyediakan pendidikan agama Islam untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.


Pengarang :