ADN Kota Anggerik Najwan Halimi (kanan) ketika lawatan tapak kawasan aduan di Taman Mutiara Bukit Raja, Klang pada 17 Oktober 2022. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 40 peratus aduan isu perbandaran penduduk Taman Mutiara selesai

KLANG, 17 OKT: Lebih 40 peratus aduan isu perbandaran penduduk Taman Mutiara, Bukit Raja berjaya diselesaikan Majlis Perbandaran Klang (MPK) sejak Ogos lalu.

ADN Kota Anggerik Najwan Halimi berkata laporan itu termasuk penyelenggaraan longkang, landskap, struktur haram, kenderaan terbiar dan pam air tidak berfungsi.

“Pam air menjadi instrumen utama bagi mengepam air ke longkang dan longkang monsun sebelum ini tidak berfungsi kerana ditumbuhi pokok yang menyekat kelancaran fungsi pam, jadi apabila ia sudah diselenggara untuk mengelak banjir kilat di kawasan ini.

“Ini adalah lawatan susulan bagi melihat perkembangan gerak kerja terhadap aduan penduduk pada Ogos lalu dan kita harap MPK akan terus agresif menyelesaikan isu berbangkit di sini,” katanya selepas melawat tapak kawasan di sini hari ini.

Ogos lalu, penduduk Taman Mutiara membuat aduan antaranya berkaitan isu pembersihan sampah tidak dilaksanakan dengan sempurna dan masalah saliran air tidak diselenggara.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MPK Elya Marini Darmin berkata pihaknya giat melaksanakan usaha bersepadu bersama agensi lain bagi menyelesaikan aduan berbangkit supaya penduduk kawasan terbabit menikmati persekitaran kondusif.

“Ada beberapa isu yang membabitkan teknikal dan perlu perbincangan lanjut dengan agensi lain. Itu kita akan usahakan secepat mungkin.

“Rabu ini MPK akan turun padang semula untuk menebang dan membersihkan pokok-pokok haram yang ditanam penduduk bagi mengelak insiden tidak diingini,” katanya.


Pengarang :