Projek Lebuh Raya Bertingkat Damansara–Shah Alam (DASH). Foto Facebook Prolintas
NASIONAL

Lebuhraya Bertingkat Damansara–Shah Alam dibuka tempoh terdekat

SHAH ALAM, 11 OKT: Projek Lebuhraya Bertingkat Damansara–Shah Alam (Dash) hampir siap sepenuhnya dan dijangka bersedia untuk menerima 50,000 pengguna dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata Dash dijangka mengurangkan masa perjalanan dari Puncak Perdana ke Penchala sehingga 30 minit berbanding 90 minit melalui laluan sedia ada, lapor portal Kosmo!.

“Pembinaan DASH juga boleh mengurangkan kesesakan di Persiaran Mokhtar Dahari sebanyak 39 peratus, Jalan Sungai Buloh (33 peratus) dan Persiaran Surian (43 peratus).

“DASH juga boleh menjadi laluan alternatif untuk ke Persiaran Surian di Kota Damansara, Lapangan Terbang Subang, Damansara Perdana, Penchala dan menuju ke Bandaraya Kuala Lumpur,” katanya ketika sesi taklimat projek DASH di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohammad Azlan berkata lebuh raya tersebut turut menjadi penghubung antara bahagian timur dan barat Lembah Klang.

“Pembinaan lebuh raya ini menjadi penyelesaian penyuraian trafik untuk beberapa kawasan pembangunan baharu seperti Kwasa Damansara, Elmina dan sepanjang Shah Alam ke Damansara.

“DASH mempunyai tiga plaza tol iaitu di Denai Alam, RRIM (Kwasa Damansara) dan Kota Damansara lengkap dengan sistem kutipan tol tanpa henti yang dikenali sebagai Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF),” katanya.


Pengarang :