Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Klang pada 30 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lelaki warga emas maut dalam kebakaran kereta

SHAH ALAM, 21 OKT: Seorang warga emas ditemukan maut dalam sebuah kereta yang terbakar di tepi Jalan Shapadu, Kampung Sungai Pinang, Klang dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang lelaki berusia lingkungan 70-an.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan setakat ini polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR) dan satu kertas siasatan mati mengejut akan dibuka untuk memastikan punca kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Vijaya Rao berkata polis meminta orang awam yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat berhubung insiden terbabit untuk menghubungi balai polis berhampiran atau Ketua Polis Balai Bandar Baru Klang.

Terdahulu, Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 5.27 pagi.

“Sebaik tiba, didapati kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil (nombor plat, BGN 5095) yang terbakar 100 peratus dengan seorang mangsa turut terbakar di tempat duduk pemandu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :