Selangor FC menewaskan PJ City 1-0 pada saingan Liga Super di Stadium MBPJ pada 7 Oktober 2022. Foto Facebook Selangor FC
AGENDA SUKANKINI

Liga Super: Selangor FC tewaskan PJ City 1-0

SHAH ALAM, 7 OKT: Pasukan Selangor FC meneruskan momentum cemerlang dibawah kendalian Tan Cheng Hoe selepas menewaskan PJ City 1-0 pada saingan Liga Super malam ini.

Pada perlawanan di Stadium MBPJ itu, Cheng Hoe membariskan kesebelasan terbaik menerusi gandingan Nor Hakim Hassan, Herlison Caion dan Mukhairi Ajmal di jentera serangan, lapor portal Kosmo!.

Namun, skuad Gergasi Merah hanya mencipta sedikit peluang pada babak pertama apabila sepakan percuma Baha Abdelrahman berjaya ditepis penjaga gol The Phoenix, Kalamullah Al-Hafiz.

Mukhairi turut memiliki peluang keemasan tetapi percubaan satu lawan satu yang dimilikinya gagal menerjah jaring.

Bersambung pada babak kedua, skuad Merah Kuning menggandakan asakan dengan Cheng Hoe membuat rombakan dengan memasukkan pemain muda, Danial Asri bagi digantikan dengan Caion.

Kesempatan tersebut digunakan oleh Danial untuk menjaringkan gol kemenangan hasil tandukan pada minit ke-81 selepas menerima hantaran Mukhairi.

PJ City yang dikendalikan oleh P. Maniam berusaha untuk bangkit tetapi kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.


Pengarang :