Dua penunggang motosikal terpaksa berpatah balik selepas gagal untuk merentasi air yang melimpah di atas jalan raya ketika tinjauan banjir di Taman Angkasa Nuri, Melaka pada 2 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Lima kawasan di Melaka banjir, dua lagi pusat pemindahan dibuka

MELAKA, 27 OKT: Dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Alor Gajah iaitu Balai Raya Kampung Gadek dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan berikutan banjir di lima kawasan di daerah itu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam kenyataan memaklumkan PPS Balai Raya Kampung Gadek dibuka kira-kira 11 pagi tadi dan menempatkan 40 mangsa daripada 19 keluarga manakala PPS SMK Seri Pengkalan diaktifkan pada 1.45 tengah hari, namun belum menempatkan mangsa banjir.

Menurut kenyataan itu, jumlah mangsa meningkat kepada 76 orang daripada 28 keluarga pada 4 petang tadi berbanding 36 mangsa daripada sembilan keluarga pada 12 tengah hari yang ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Tanjong Rimau Luar.

Kesemua mangsa adalah dari Kampung Tanjong Rimau, Kampung Gadek, Kampung Nelayan Kuala Linggi, Kampung Sungai Siput dan Pengkalan.

– BERNAMA


Pengarang :