Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima bantuan Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2022 daerah Sabak Bernam sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 15 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Lima sekolah agama terima bantuan naik taraf infrastruktur

SABAK BERNAM, 16 OKT: Warga Sekolah Rendah Agama (SRA) Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) Integrasi Al-Islah Parit Baru Baroh, Sungai Air Tawar bakal menikmati kemudahan kelas lebih selesa.

Ketua guru, Kaminur Nasir berkata pihaknya akan menggunakan bantuan sekolah berjumlah RM30,000 bagi menambah beberapa kelas bagi kemudahan pelajar.

Kaminur Nasir

“Kelas sedia ada sebenarnya tidak mencukupi dan ada kalanya kita menggunakan dewan menggantikannya. Setakat ini, kita akan menggunakan peruntukan yang diterima sebaiknya untuk infrastruktur.

“Selain itu, kita juga bercadang untuk membaiki beberapa tingkap yang sudah rosak demi keselesaan pelajar,” katanya ketika ditemui di Jelajah Selangor Penyayang Sabak Bernam di sini semalam.

Sementara itu, pembantu mudir Maahad Tahfiz Ummul Qura, Sungai Air Tawar, Muhammad Farid Tutur@Abu berkata pihaknya bersyukur apabila menerima bantuan Kerajaan Negeri menerusi program bantuan sekolah.

Muhammad Farid Tutur@Abu

“Kami sememangnya dalam perancangan untuk menaik taraf beberapa kemudahan pelajar seperti pagar kerana sudah rosak dan perlu ditukar ganti.

“Apabila menerima bantuan ini, ia memudahkan kami untuk menaik taraf infrastruktur di sini. Bagaimanapun, kita akan adakan perbincangan untuk mengutamakan kemudahan mana yang harus dibaiki dahulu,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan program bantuan sekolah Selangor bagi tahun ini kepada lima sekolah di daerah Sabak Bernam.

Tiga sekolah lain yang turut menerima sumbangan ialah SRA Integrasi Muhammadiah, Kafa Integrasi Desa Permai Parit 8 dan Sekolah Kebangsaan Sungai Leman.


Pengarang :