Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir memantau kerja membersihkan longkang pada program gotong-royong pascabanjir di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 6 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Longkang tersumbat, KDEBWM selesai hampir semua aduan

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

SHAH ALAM, 12 OKT: Sebahagian besar atau 70 peratus daripada 362 aduan longkang tersumbat diterima KDEB Waste Management (KDEBWM) menerusi aplikasi WhatsApp sudah diselesaikan.

Pengarah Urusan Ramli Mohd Tahir berkata baki 30 peratus aduan yang diterima sejak 16 September lalu masih dalam proses tindakan termasuk mengenal pasti sama ada di bawah skop KDEBWM atau agensi lain.

“Daripada 362 aduan bukan semuanya di bawah skop kerja KDEBWM namun jika berkaitan agensi ini kebiasaannya tindakan akan diambil dalam tempoh 24 jam daripada aduan dibuat.

“KDEBWM banyak menerima aduan di luar skop seperti longkang dengan lebar melebihi 1.5 meter, longkang monsun, parit tanah, berkaitan sungai dan longkang perumahan rosak atau pecah,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, aduan tidak berkaitan dengan skop KDEBWM disalurkan kepada agensi dan jabatan berkaitan untuk tindakan selanjutnya.

Orang ramai dipelawa menghantar aduan atau melaporkan keadaan longkang tersumbat di kawasan masing-masing menerusi aplikasi WhatsApp KDEBWM di talian 019-274 2824.

Talian ini diwujudkan sebagai langkah bagi memastikan sistem saliran longkang yang baik dan persiapan menghadapi banjir pada November nanti seperti diramal Jabatan Meteorologi Malaysia.

 


Pengarang :