Peragawati memperagakan fesyen berkonsepkan ‘Modest Wear’ atau busana sopan dengan sentuhan elemen moden dan minimalis ketika majlis perasmian Hari Demo Pemecut Fesyen Selangor 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 8 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Luas pasaran niaga, Siti Nurhaliza harap program fesyen negeri diteruskan

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin berharap program Pemecut Fesyen Selangor (SFA) dijadikan acara tahunan berikutan pelbagai manfaat diperolehi usahawan seluruh negara.

Penyanyi nombor satu negara berkata program anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) membuka ruang buat penggiat industri itu mengembangkan perniagaan mereka.

“Saya harap ia menjadi platform yang akan diteruskan Sidec sampai bila-bila sebab perniagaan ini macam cendawan tumbuh lepas hujan hingga yang bukan latar belakang fesyen juga boleh berjaya.

“Kita hendak beri sokongan kepada lebih ramai Bumiputera dan usahawan lain yang boleh jana ekonomi kepada Selangor dan Malaysia,” katanya ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

Program sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2022 itu dirasmikan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad.

Presiden CTDK Holdings Dato’ Sri Siti Nurhaliza bercakap kepada Media Selangor selepas majlis perasmian Hari Demo Pemecut Fesyen Selangor 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 8 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Siti Nurhaliza yang juga salah seorang juri SFA yakin program itu memberi inspirasi kepada ramai usahawan fesyen termasuk dirinya yang merupakan presiden CTDK Holdings.

Menurut pelantun lagu Percayalah, dana juga diberikan kepada usahawan terpilih selain membantu mereka menerus dan meluaskan cabang perniagaan untuk tempoh jangka panjang.

“Mereka dibantu teruskan perniagaan dengan konsisten, bukan satu atau dua tahun tetapi sampai bila-bila hingga jadi empayar perniagaan hebat dan boleh bantu orang lain juga,” katanya.

Program julung kali itu menyenarai pendek 16 usahawan fesyen terbaik, namun hanya enam mara ke peringkat akhir sebelum masing-masing membentangkan kertas kerja perniagaan.

Jenama Kalima Textile diumumkan sebagai pemenang sekali gus membawa pulang wang tunai RM6,000 dan tapak reruai bernilai RM10,000 dalam pertunjukan ‘My Gaya Month’.


Pengarang :