Kakitangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni beberapa keluarga asnaf di Masjid Makmuniah Simpang Lima, Sabak Bernam. Foto Facebook LZS
AGENSISELANGOR

LZS terus jejak asnaf, bantu 24 keluarga di Sabak Bernam

SHAH ALAM,3 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) meneruskan program Skuad Jejak Kemiskinan dengan menyantuni penduduk di sekitar Masjid Makmuniah Simpang Lima, Sabak Bernam baru-baru ini.

Agensi itu memaklumkan menerusi program itu, seramai 24 keluarga dibantu yang mana 16 ketua keluarga asnaf sedia ada layak untuk mendapat bantuan kewangan bulanan.

“Selain itu, lima ketua keluarga layak menerima bantuan makanan bulanan, dan tiga layak untuk asnaf baharu.

“Menerusi program ini juga, lebih 60 maklumat ketua keluarga telah dikemas kini. Insya-Allah ia akan diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya menerusi Facebook.

Program tersebut merupakan kerjasama antara LZS daerah Sabak Bernam bersama Penolong Amil Kariah Masjid Makmuniah Simpang Lima.

Pada 22 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar berkata seramai 600 keluarga berjaya keluar daripada senarai asnaf antara Januari hingga Jun lalu dan tidak lagi memerlukan bantuan LZS.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan agensi itu turut memperuntuk RM69.3 juta tahun lalu menerusi program Zakat Selangor Peduli yang menyediakan 19 inisiatif bantuan.


Pengarang :