Kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyusun barangan jualan ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Flat Selayang Mulia,Gombak pada 2 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Masyarakat India manfaat jualan murah PKPS beli bekalan sambut Deepavali

GOMBAK, 3 OKT: Masyarakat India memanfaatkan program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Flat Selayang Mulia dengan membeli barangan keperluan Deepavali.

Warga emas M Rajeshberi, 60, berkata beliau dan suami M Munusamy, 70, masing-masing membeli beras dan minyak masak memandangkan pembelian barangan asas berkenaan terhad.

“Ini untuk bekalan Deepavali. Kami juga membeli ayam dan telur untuk keperluan harian kerana harga ditawarkan lebih murah dari tempat lain.

“Dekat sini ayam dijual RM10 seekor berbanding pasar antara RM16 hingga RM20. Banyak belanja dapat dijimatkan,” katanya ketika ditemui semalam.

Surirumah S Anthi,44, meminta Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor untuk menganjurkan program lebih kerap sebelum Deepavali disambut pada 24 Oktober ini.

“Kalau boleh sediakan barangan lain juga supaya kami boleh mendapatkan keperluan dengan harga murah,” katanya.

Jualan barangan asas dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari menjual ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk program tersebut di 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember melibatkan 160 lokasi.

Inisiatif dilaksana bagi membantu rakyat berdepan kenaikan harga barang itu memanfaatkan lebih 80,000 orang sejak diperkenal Disember tahun lalu.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan asas pada harga murah sempena program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua anjuran PKPS di Flat Selayang Mulia,Gombak pada 2 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :