Mayat seorang wanita ditemukan dalam keadaan reput berhampiran persimpangan lampu isyarat di Jalan Tambun, Ipoh awal pagi tadi ketika polis sedang menyiasat kes kemalangan jalan raya. Foto Facebook Bernama TV
AGENDANASIONAL

Mayat wanita reput ditemukan dalam semak di Ipoh

IPOH, 12 OKT: Mayat seorang wanita ditemukan dalam keadaan reput berhampiran persimpangan lampu isyarat di Jalan Tambun di sini hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata mayat itu ditemukan dalam kawasan semak selepas pihaknya menerima maklumat pada 5.25 pagi tadi mengenai sebuah kereta yang terbabas di tepi longkang.

“Semasa anggota polis tiba untuk menjalankan siasatan mengenai kemalangan itu, mereka telah menjumpai satu mayat reput dalam kawasan semak dengan jarak lebih kurang dua meter dari lokasi kereta Proton Iswara Aeroback yang dipandu seorang lelaki itu terbabas.

“Mayat lengkap berpakaian dan didapati tiada kesan kecederaan pada badan itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Yusri berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat daripada pihak hospital.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes tersebut supaya menghubungi Ketua Balai Polis Tambun Inspektor Josin Amatin di talian 016-2222 491 bagi membantu siasatan.

– BERNAMA


Pengarang :