Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Jeram di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields, Kuala Selangor. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB ajak penduduk beli barangan asas PKPS di sembilan lokasi

SHAH ALAM, 17 OKT: Dato’ Menteri Besar mengajak orang ramai membeli barangan asas anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sembilan lokasi mulai 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter memaklumkan penduduk berpeluang menikmati harga barangan makanan mentah pada harga lebih rendah berbanding pasaran sempena Jelajah Ehsan Rakyat.

Jualan tersebut diadakan di Balairaya Parit 11 Timur bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak, tapak pasar malam, Bestari Jaya (Ijok), tapak pasar malam, Taman Alam Jaya (Jeram) dan Kampung Nahhoda (Sungai Tua).

Program turut diadakan di Dewan MPAJ Kampung Perwira Jaya (Pandan Indah), LC700 Pandan Perdana (Teratai), Bandar Tasik Kesuma (Semenyih), Pangsapuri Sea Park (Kampung Tunku) dan tapak pasar malam (Sungai Kandis).

Menerusi jualan murah tersebut, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur (RM10 sepapan).

PKPS turut menawarkan ikan kembung atau selayang pada harga RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk menjayakan jualan murah di seluruh 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember ini melibatkan 160 lokasi.

Maklumat lokasi Jelajah Ehsan Rakyat juga boleh diperoleh dengan melayari pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :