Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) melihat model rumah ketika majlis pelancaran Rumah Idaman Melur dan program penanaman pokok @ Jelajah Selangor Penyayang di Kita@Cybersouth, Sepang pada 29 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Inisiatif deposit beli rumah diumum dalam belanjawan 2023

SEPANG, 29 OKT: Inisiatif deposit membeli rumah kepada golongan kurang mampu bakal diumum dalam Belanjawan Selangor 2023 nanti.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tawaran berkenaan antara usaha untuk membantu lebih ramai rakyat negeri ini memiliki kediaman sendiri.

“Dalam belanjawan negeri yang dibentang pada 25 November nanti, kita tawarkan inisiatif ini. Kita bantu penduduk menambah peluang untuk dapatkan deposit.

“Dahulu kita berdepan cabaran sediakan rumah tetapi kita mampu, dari 30,000 kepada 60,000 rumah disediakan. Sekarang masalah timbul berkenaan pinjaman kerana tak punyai deposit. Jadi langkah ini ditawar untuk membantu penduduk miliki kediaman,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas melancarkan projek pembinaan Rumah Idaman Melur di sini, hari ini.

Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang ditangguh sebelum ini dijadual bermula 23 November, termasuk Belanjawan Selangor 2023 yang dibentangkan dua hari kemudian.

Dalam surat pemberitahuan, Pejabat DNS memaklumkan dewan dijadual bersidang hingga 6 Disember, manakala belanjawan dibentang pada 25 November.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) melihat model rumah ketika majlis pelancaran Rumah Idaman Melur dan program penanaman pokok @ Jelajah Selangor Penyayang di Kita@Cybersouth, Sepang pada 29 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :