Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap dalam program ramah mesra bersama penggerak masjid daerah Klang di Masjid Kampung Dato’ Dagang, Kampung Jawa, Klang pada 22 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Jadikan masjid, surau tempat penyatuan ummah meski beza pandangan

KLANG, 23 OKT: Masjid dan surau adalah medan perbincangan dan penyatuan umat Islam walaupun setiap individu mempunyai perbezaan pandangan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin mengakui cabaran menarik umat Islam untuk menjadikan institusi masjid dan surau sebagai pusat rujukan pada masa kini.

“Kadangkala perbezaan antara kita (umat Islam) sama ada dimulakan perbezaan mazhab, pandangan, tafsiran mahupun kadangkala perbezaan kehidupan seperti politik.

“Perbezaan itu kadangkala menceraikan dan mengasingkan kita antara satu sama lain. Sudah pasti cabaran bagaimana menjadikan ia sebagai pusat rujukan untuk bertemu serta berbincang,” katanya.

Beliau berucap pada program ramah mesra bersama penggerak masjid daerah Klang di Masjid Kampung Dato’ Dagang, Kampung Jawa dekat sini semalam.

Dalam program itu, Amirudin turut menyampaikan bantuan sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada beberapa sekolah, masjid dan surau sekitar daerah terbabit.

Pada masa sama, beliau berharap usaha memperkasa pusat ibadat di negeri ini diteruskan dari semasa ke semasa bersama pemimpin masjid dan surau.

“Terima kasih kerana selama ini melaksanakan tanggungjawab selaku pemimpin kepada institusi penting ini. (Tanggungjawab) bukan hanya untuk negeri tetapi juga umat dan masa depan kita bersama.

“Marilah kita sama-sama memperkukuh dan memperbaiki (peranan) dari semasa ke semasa. Insya-Allah, usaha memperkasa masjid serta surau menjadi salah satu agenda Kerajaan Negeri yang tidak akan ditinggalkan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf pada program ramah mesra bersama penggerak masjid daerah Klang di Masjid Kampung Dato’ Dagang, Kampung Jawa, Klang pada 22 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :