Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memeriksa aset keperluan untuk kegunaan banjir ketika pelancaran kesiapsiagaan bomba Selangor berdepan Monsun Timur Laut di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam pada 12 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Kerajaan Negeri teruskan pentadbiran demi kebajikan rakyat

SHAH ALAM, 14 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengambil maklum hasrat Kerajaan Negeri meneruskan pentadbiran demi bersiap sedia menghadapi bencana banjir, jelas Dato’ Menteri Besar.

“Pada sesi menghadap ini (11 Oktober), saya telah menyembah maklum tahap persiapan agensi Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada November.

“Saya juga telah menyembah maklum berkenaan persiapan Kerajaan Negeri menjelang pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2023,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan di Facebook hari ini.

“Dalam sesi yang sama, saya turut telah menyembah maklum hasrat Kerajaan Negeri untuk meneruskan pentadbiran ini agar tidak menjejaskan persediaan menghadapi bencana serta kemajuan pelbagai program pemulihan ekonomi dan program kebajikan rakyat yang sedang dilaksanakan.”

Beliau menjelaskan kenyataan awalnya pada 11 Oktober yang menyebut Baginda berkenan agar pentadbiran ini diteruskan supaya dapat memfokuskan usaha menjamin kesejahteraan rakyat Selangor.

“DYMM Tuanku mengambil maklum hasrat untuk pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor diteruskan dan menitah agar kebajikan serta kesejahteraan rakyat diutamakan.

“Ini telah dinyatakan jelas oleh saya dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada hari sama,” kata Amirudin lagi.

Sementara itu di Sabak Bernam, beliau menegaskan kenyataan setiausaha sulit Sultan Selangor, Dato’ Muhamad Munir Bani, semalam selari dengan kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Selasa.

“Tidak timbul isu sebab kalau kita bandingkan kenyataan saya yang rasmi (pada 11 Oktober) dengan kenyataan dikeluarkan istana (pada 13 Oktober),” kata Amirudin hari ini.

“Sebenarnya setiausaha sulit (Sultan Selangor) berkata kenyataan dikeluarkan adalah untuk menjelaskan beberapa laporan yang mengelirukan.”

Beliau menjelaskan kenyataan Muhamad Munir yang menyebut sesi menghadap Dato’ Menteri Besar dengan Sultan Selangor tidak membangkitkan permintaan pembubaran DUN.

“Sebenarnya pada 11 Oktober 2022 yang lalu, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor tidak membuat permintaan kepada DYMM Sultan Selangor untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri pada tahun ini dan berhasrat untuk meneruskan pentadbiran kerajaan negeri,” kata Muhamad Munir.

Sementara Amirudin pula, selepas menyembah maklum hasrat meneruskan pentadbiran, mengeluarkan kenyataan: “DYMM Tuanku berkenan agar pentadbiran ini diteruskan supaya dapat memfokuskan usaha menjamin kesejahteraan rakyat Selangor.”


Pengarang :