Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis perasmian peluasan sistem Smartbox ke seluruh Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Selangor di Pejabat Daerah dan Tanah Klang pada 28 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Kutipan hasil negeri atasi sasaran, yakin capai RM2.2 bilion 

KLANG, 28 OKT: Kutipan hasil negeri kini mencapai RM2.17 bilion mengatasi sasaran awal ditetapkan berjumlah RM2.05 bilion, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya yakin jumlah itu terus meningkat kepada RM2.2 bilion menjelang hujung tahun ini.

“Pada 2020 ketika Perintah Kawalan Pergerakan dan 2021 Selangor tetap mencatat lebihan hasil daripada jumlah ditetapkan begitu juga dengan tahun ini angka dicatat lebih tinggi.

“Bagi tahun ini, Kerajaan Negeri menyasarkan kutipan hasil negeri RM2.05 bilion tetapi berbaki dua bulan lagi sewajarnya meningkat susulan pembayaran saat-saat akhir.

“Kita catat kutipan hasil RM2.17 bilion sehingga semalam dan ia pencapaian membanggakan. Jika dapat capai RM2.2 bilion, kita dapat lebih RM200 juta daripada sistem dan pembayaran ‘online’,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari melihat cara penggunaan sistem Smartbox di pejabat daerah dan tanah Klang pada 28 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Berucap pada majlis perasmian peluasan sistem Smartbox di Pejabat Daerah dan Tanah Klang hari ini, Amirudin menjelaskan Kerajaan Negeri bakal menggunakan sistem digital dalam pengurusan pentadbiran.

“Pada belanjawan akan datang, salah satu agenda memastikan perubahan dan transformasi dalam pembayaran dan pengurusan pentadbiran Kerajaan Negeri dialih kepada digital.

“Transformasi digital bukan sahaja mampu perkemas data, tingkat kepercayaan kepada sistem pentadbiran awam dan tambah hasil lebih cekap serta pantas,” katanya.


Pengarang :